Ahad, 13 Februari 2011

Wajarkah BUKAN ISLAM dibenar jadi WAKIL TAKAFUL. ?

Saya tertarik mengulas apabila semakin banyak syarikat insurans konvesional  kini berusaha memohon lesen takaful. Sehingga kini sudah 9 lesen takaful  dikeluarkan oleh BNM bagi merancakkan industri  dan sistem kewangan Islam. Ianya adalah satu kejayaan untuk negara kita yang mempunyai komitmen menyedarkan orang Islam bagi memilih produk takaful berbanding konvesional.  Namun saya ingin memohon perhatian dan tindakan Bank Negara Malaysia agar mewajibkan syarat hanya orang Islam sahaja boleh menjadi wakil  untuk  memasarkan produk berkenaan. 

Banyak kesan negatif jika wakil bukan Islam dibenarkan memasarkan produk takaful hayat kepada orang-orang Islam.  Ianya seumpama  ‘masakan  orang Islam’ yang boleh dimakan bukan Islam, tetapi ‘masakan bukan Islam’  (walaupun halal) harus dielakkan oleh umat Islam dan tentunya dikhususkan kepada bukan Islam. Begitulah juga kiasan bagi produk Takaful dan syarat menjadi wakil Takaful haruslah beragama Islam.  BNM dan Persatuan Wakil Takaful juga harus mengkaji syarat  AKAD  yang mesti  dilakukan oleh Wakil Takaful dan bagaimana situasi ini apabila melibatkan penjualan produk takaful dari wakil bukan Islam kepada orang Islam ? Jika perkara ini dibiarkan, wakil atau agen bukan Islam akan ‘menjaja’ ayat Al Quran dalam mencari peluang dan pendapatan.  Contoh ini sudah kita lihat dalam kegawatan politik apabila ahli politik bukan Islam mencemarkan kesucian  agama kita dengan menjaja ayat Al Quran. Perkara ini sebenarnya sudah berlaku  apabila sebuah syarikat  takaful  (Etiqa Takaful) membenarkan agen bukan Islam memasarkan produk takaful bagi ‘meraih’ komisyen dari masyarakat Islam.  

Mereka pasti akan ‘memanfaatkan’  peluang sebagai agen takaful untuk pasaran masyarakat Islam . Cuba pihak Bank Negara Malaysia bayangkan bilamana agen ini menyeru klien dan menceritakan kehebatan sistem kewangan Islam dan takaful tetapi mereka masih  tidak beriman dan secara jelas sebenarnya bermotifkan keuntungan dengan memperkudakan produk takaful.

Sehubungan itu, BNM  dan Persatuan Agen Takaful  perlu tegas  dalam hal seperti  ini agar nasib agen takaful yang beragama Islam lebih terbela di dalam industri ini. Malah jika BNM  atau syarikat takaful sangat berminat untuk membenarkan agen bukan Islam menjual produk takaful keluaran syarikat mereka, maka saya ingin mencadangkan agar agen bukan Islam ini hanya dibenarkan menjual produk takaful kepada kaum mereka atau pelanggan bukan Islam sahaja. Semoga melalui cara ini, dakwah Islam boleh disebarkan secara tidak langsung  apabila wakil dan pelanggan bukan Islam melihat ‘kecantikan’ produk takaful berbanding konvesional. Sekali pun mereka belum memeluk Islam tetapi untuk menjalankan perniagaan ini mereka terpaksa belajar dan memahami seterusnya menjelaskan kepada masyarakat bukan Islam tentang kelebihan produk takaful. Saya mengharapkan agar perkara ini diberikan perhatian khusus serta satu peraturan segera dikeluarkan untuk menjaga nilai dan kemurnian produk-produk takaful serta sistem kewangan Islam. Ambilah contoh paling terbaru, apabila bukan Islam tidak dibenarkan menjadi peguam syarie..fikirkanlah.

Tiada ulasan: