Khamis, 21 Februari 2013

Politik masjid


Sepanjang  belajar dan membesar di Negeri Johor, saya tidak pernah berjumpa apa-apa notis atau kenyataan politik di tampal di papan kenyataan masjid. Sekali pun Johor dinaungi oleh Kerjaaan BN dan semua masjid di negeri berkenaan adalah dibina oleh kerajaan UMNO/BN.

Ini amat berbeza jika kita melihat sebahagian kecil masjid-masjid di Negeri Kedah yang juga dibina oleh BN tetapi malangnya papan kenyataan masjid dihiasi dengan pelbagai penghinaan dan cercaan kepada pemerintah. Malah banyak notis-notis ceramah politik turut ditampal di masjid. Saya sering singgah bersolat di Masjid Sungai Durian, berhampiran Pekan Pokok Sena ini dan pada 8 Februari saya membaca banyak notis yang dicetak dari internet di papan kenyataan masjid. Salah seorang jawatankuasa masjid ini merupakan rakan sekerja saya.  Rasa kurang selesa ini disuarakan kepada beliau selaku AJK masjid berkenaan. Beliau mengakui  ‘tidak selesa’ tetapi tidak tahu siapakah yang menampal notis di papan kenyataan tersebut.  Namun beliau tidak pula ‘menghentam’ perlakukan tersebut atas sebab yang boleh difahami. Berlaku sedikit perbincangan dan sesi berhujah.  Kata saya, jika hati kecil beliau tidak selesa mengapa tidak sahaja dibuang segala kenyataan buruk (umpat dan fitnah tanpa 4 saksi) ini di dalam rumah Allah?
Beliau nampaknya ‘menghalalkan’ tindakan tersebut atas dasar rakyat berhak menyuarakan pandangan mereka atas kezaliman pemerintah. Namun saya meminta beliau berhujah secara rasional  dan kewajaran  menggunakan gelanggang masjid untuk memperkecilkan pihak lain. Malah saya jelaskan  kepadanya, jika BN / UMNO ingin melakukannya (menggunakan masjid) untuk memburukkan pembangkang, mereka lebih berhak kerana hampir 100% masjid dibina oleh UMNO/BN sejak kita merdeka. Namun disinilah kematangan dan akal sihat yang dimilik oleh orang UMNO dengan meninggalkan ‘politik’ di pintu pagar masjid dan datang untuk beribadah semata-mata keranaNya.

Bagi mengakhiri sesi itu, saya katakan kepadanya, jika kita berbalah kembalilah kepada Al Quran sebagai rujukan dan Sunnah Nabi.  Maka saya mengemukakan beberapa Firman Allah yang saya fahami  bagi menyatakan kebenaran agar tidak mencari-cari keburukan orang lain khususnya pemerintah.  Sebagai  Islam, saya jelaskan kepadanya akan keperluan kita melihat keburukkan diri sendiri dan ahli keluarga kita yang akan menjadi bahan bakar api neraka dengan merujuk Firman Allah surah At Tahrim ayat 6. ‘Wahai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu berhala'. Apa yang saya fahami dari ayat tersebut ialah, umat Islam TIDAK DISURUH @ DITUNTUT mencari keburukan orang lain khususnya pemimpin

Saya juga bertanya adakah mana-mana ayat Al Quran sesuai dengan hujahnya untuk ‘memburukkan’ pemerintah? Dengan mengemukakan satu maksud ayat  Al Quran yang saya fahami secara jelas iaitu  kita akan dipertanggungjawabkan (menjawab di dalam kubur dan hari pembalasan) tentang apa yang kita lakukan (sebagai ketua keluarga dan guru yang makan gaji dengan kerajaan BN) dan mereka (pemerintah) pula akan dipertanggungjawabkan atas apa yang mereka lakukan. Apa yang saya fahami ialah sistem demokrasi sekalipun memberikan hak sebebas-bebasnya untuk kita menghentam pihak lain,,tetapi ianya BUKAN TUNTUTAN ISLAM seperti yang di Firmankan Allah di dalam Al Quran



Hari ini (21 Febuari 2013), saya singgah solat asar di masjid berkenaan, Alhamdulillah,,banyak notis politik sudah dibuang oleh pihak masjid berkenaan, walaupun masih ada berbaki sedikit keratan akhbar  Harakah yang memaparkan gambar Lim Guan Eng di Masjid Sungai Durian,,,mungkin mereka bermaksud mulia agar dengan meletakkan ‘gambar LGE’ itu hidayah Allah akan lebih mudah sampai kepada Father LGE.  Sebagai penutup bicara, teringat kata-kata, Alangkah indahnya agama kita jika umatnya ‘berpolitik secara Islam’, tetapi malangnya ramai lagi yang ‘mempolitikan Islam’.  


Cr.LukmanMoidin & ShahfaliqTeo

Isnin, 7 Januari 2013

PAS Kedah langgar amanah Allah

Firman Allah bermaksud: "Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan." (Surah al-Qasas, ayat 77). Kita telah membaca laporan akhbar dan media berhubung penebangan rakus hutan di Tasik Pedu dan sekitar Sik, Jeniang dan Baling. Negeri Kedah Darul Aman antara negeri yang mempunyai banyak air terjun serta hutan lipur yang sangat istimewa. Firman Allah melalui ayat di atas memberikan kita satu contoh yang sangat nyata kedaifan akal pemimpin bila diberikan kuasa hingga tidak mampu mengurus  dengan bijaksana. Malah gagal dalam memelihara alam semesta yang diciptaNya. 

Kesempatan cuti baru-baru kami telah berkelah dan bermalam di sebuah pulau di tengah kehijauan Tasik Pedu. Dalam perjalanan itulah kami menyaksikan sendiri apa yang dilaporkan oleh media yang sering dicop sebagai ‘pendusta’. Keadaan sudah tidak seperti beberapa tahun yang lalu. Hakikatnya sangat-sangat mengecewakan apabila kehijauan hutan yang cantik di sekitar laluan di Tasik Pedu sudah ditarah hingga menjadi ‘bukit tanah merah’.

Diteliti secara mendalam, sesuatu ‘malapetaka’ sedang berlaku di Daerah Padang Terap yang diakibatkan oleh sikap penduduknya sendiri. Ini antara contoh 'hukum alam' yang sedang menanti masa dan sedikit sebanyak kesannya boleh dilihat dengan nyata.

Saya fikir, pengundi daerah ini yang pernah mengkhianati parti mereka sendiri pada PRU 2008 sedang diberikan pengajaran berharga atas sebab yang mereka tahu. Pencabulan ganas alam ini berlaku di DUN yang dimenangi oleh BN iaitu DUN Pedu. Namun sehingga sekarang tiada sesiapa mampu menghentikan pembalakan yang sedang memusnahkan kecantikan alam sekitar Tasik Pedu ini. Lebih ‘mengembirakan’ PAS pula ialah calonnya telah dimenangkan oleh musuh mereka iaitu BN atau UMNO.

Paling malang, selain kesan sabotaj alam yang dilakukan di Parlimen Padang Terap, pemimpin PAS yang dibantu kemenangannya oleh pengkhianat BN ini pula terang-terangan sedang melacur maruah agama. Di sebalik apa yang dilakukan oleh pemimpin ini, ramai ustaz  dan penyokong PAS sendiri melahirkan rasa jijik akibat kedangkalan pemimpin mereka kerana sanggup mengorbankan prinsip akidah demi meraih undi kaum yang bukan seagama. Tindakan paling jahil dan amat tidak bermoral pemimpin berkenaan merupakan bala amat besar yang tidak terfikir boleh berlaku di sini dan sepatutnya menjadi pengajaran kepada ahli PAS dan UMNO. 

Dalam isu penebangan hutan pula, masyarakat Kedah patut meninjau sendiri ke Tasik Pedu dan menyaksikan sendiri kaedah penebangan hutan yang mereka lakukan. Hakikatnya golongan yang kononnya mengaku berpegang kepada Al Quran inilah yang mengingkari ayat Allah. Firman-Nya yang bermaksud: "Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedangkan Allah tidak suka kepada bencana kerosakan." (Surah al-Baqarah, ayat 205).

Cadangan PERKASA Kedah membawa orang ramai dengan bas adalah tindakan yang baik untuk melihat sendiri apa yang berlaku di Tasik Pedu. Biarkan rakyat menilai kepimpinan ini dan menyedarkan penyokong mereka yang taksub membuta tuli. Penduduk Kedah harus menyedari bahaya besar yang mungkin terjadi. Kesan banjir yang selalunya bermula di Daerah Padang Terap pada masa-masa akan datang akan lebih berisiko tinggi. Berdoalah agar bencana alam akibat kebodohan pemimpin seperti ini tidak menyebabkan rakyat sengsara di kemudian hari.  

Jika perlembagaan PAS adalah Al Quran, di mana letaknya ayat diatas sebagai kaedah kepimpinan mereka dan mentadbir hutan di negeri berkenaan.

Peningkatan hasil balak sehingga 205 % bukan sesuatu yang pelik jika kaedah penebangan seperti ini dilakukan. Penduduk sekitar Kg Pinang, Tong Pelu, Kg Musa, Kg Kuala Tekai dan Kuala Nerang hampir setiap hari dapat melihat lori balak membawa kayu sebesar betis orang dewasa. Walaupun pendapatan semasa BN memerintah agak sedikit iaitu sekitar RM8 juta setahun, tetapi bukti inilah melambangkan pembalakkan dilakukan secara terancang dan hutan tidak ditebang sesuka hati.  Jika pun bercadang untuk membuka 'ladang rakyat', fikirkan sejenak tentang pasarannya. Saya fikir alasan mengwujudkan peluang pekerjaan juga amatlah dangkal kerana tidak ramai anak muda yang berminat jika buruh ladang ditawarkan sebagai kerjaya. Namun berita baik dari perancangan ladang buah-buahan ini ialah untuk penghuni hutan seperti monyet dan kera yang akan menikmati buah-buahan yang disediakan hasil dari kewujudan idea yang menjadi bahan ketawa.

Hadis Nabi SAW bermaksud; Sesungguhnya dunia ini cantik dan subur menghijau dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu (wahai manusia) selaku pengurusnya dan apa yang terdapat padanya. Namun bagi pemimpin PAS Kedah, tiada apa yang perlu difikirkan tentang hadis ini, malah bagi mereka larangan keras Rasulullah SAW terhadap penebangan hutan bukan sesuatu yang perlu dihayati.

Melalui sebuah hadis Baginda Nabi SAW sekali lagi melarang keras terhadap usaha penebangan tanpa sebab dan melampau bermaksud: “Barang siapa yang memotong pokok (bidara) - tanpa manfaat atau kepentingan - nescaya Allah SWT akan menghumbankan kepalanya ke jurang neraka”. Jika Firman Allah SWT dan Hadis Nabi SAW ini pun tidak diendahkan oleh PAS yang mengaku amat faham agama, justeru siapalah kita yang dianggap kafir  untuk menyedarkan kejahilan mereka ini.

Isnin, 31 Disember 2012

Kajian semula AES di LEBUHRAYA

Polemik AES amat perlu mendapat perhatian kerajaan lebih-lebih lagi ianya semakin menjadi ‘senjata makan tuan’.  Walaupun tujuan AES dan saman ekor adalah untuk ‘mengawal had laju’ tetapi terdapat kesan ‘kurang bijak’ dalam kaedah dan perlaksanaan  yang menimbulkan rasa tidak puashati di kalangan orang ramai.  Malah terdapat pihak tertentu kini menggunakan isu ini dengan ‘bijak’ melalui stiker kenderaan ‘1 saman ekor, 1 undi protes’.

Mengapa pandangan NGO seperti CEUPACS tidak diendahkan oleh pihak berkuasa dalam isu AES? Dalam isu ini saya tidak menentang tujuan baik oleh penguatkuasa undang-undang, tetapi isu utama ialah cara dan kaedah pemasangan AES di lebuhraya berbayar perlu dinilai semula.   
Kita perlu melihat dan menilai iklan rakaman kemalangan yang ditayangkan di television baru-baru yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa sebagai usaha menyakinkan pengguna keperluan pemasangan AES di negara kita. Agak menarik dan perlu diberikan fokus ialah  semua rakaman kemalangan di dalam rakaman CCTV tersebut adalah berlaku di ‘lampu isyarat’.  Timbul tandatanya mengapa perlu AES di pasang di lebuhraya? Bukti rakaman itu pun sudah menjawab keperluan AES adalah di semua persimpangan lampu isyarat. Stastik kemalangan juga membuktikan secara jelas bahawa kadar kemalangan setiap hari di lebuhraya amatlah kurang kerana tahap keselamatan dan keselesaan memandu di lebuhraya agak tinggi berbanding di jalan persekutuan atau jalan negeri. Malah jika statistik ini diambil kira, pihak berkuasa sepatutnya memasang lebih banyak AES di jalan persekutuan dan jalan negeri,,BUKAN DI LEBUHRAYA!
Rakyat pasti tidak akan membantah jika pihak berkuasa memasang AES di persimpangan lampu isyarat di seluruh negara. Melanggar lampu isyarat adalah pelanggaran undang-undang sejagat dan tidak patut dimaafkan. Namun ‘pelanggaran had kelajuan’ dilebuhraya perlu dilihat dalam konteks yang berbeza.
Jika kata-kata ‘kelajuan itu membunuh’ diambil sebagai asas, maka lebuhraya kita sepatutnya tidak memerlukan ‘lorong pandu laju’ atau lorong memotong. Malah kenderaan membawa pemimpin yang diiringi peronda khas juga harus mematuhi had kelajuan biasa  kerana dikhuatiri pemimpin akan maut akibat ‘kelajuan melampau’.  Pemandu kereta ambulan dan bomba juga perlu berasa bimbang kemungkinan akan maut kerana mengejar masa. 
Namun jika pihak berkuasa masih lagi melihat keperluan AES di lebuhraya, kita mencadangkan peraturan agar  setiap kenderaan yang direkacipta dan dipasarkan di negara kita mempunyai had  kelajuan setakat 110km sejam sahaja..!
Untuk mengatasi kemalangan maut pula (yang kononnya amat tinggi di lebuhraya), maka AES hendaklah dipasang di sepanjang lebuhraya dalam jarak setiap satu kilometer..!
Sebagai pengguna lebuhraya berbayar, kita harus membaca psikologi pengguna lebuhraya yang  memandu melebih 110 hingga 140km sejam.  Selain mengatasi masalah mengantuk, pemandu juga mempunyai keinginan menekan minyak sesuai dengan kapasiti enjinnya.  ‘Kelajuan’ adalah perkara subjektif yang ‘sukar dikawal’ secara semulajadi apabila pemandu melihat  lebuhraya yang luas dan selamat berbanding memandu di jalan biasa.  Saya fikir kelajuan di dalam batas sempadan tertentu harus dilongarkan sesuai dengan keadaan lebuhraya kita.  
Dalam masa yang sama agensi penguatkuasa perlu menumpukan soal  keselamatan asas kenderaan seperti tayar botak, sistem brek, lampu kenderaan dan masalah lain yang disetiap kenderaan. Penumpuan khusus perlu diberikan kepada penyelenggaraan jalan persekutuan dan negeri yang kebanyakkannya tidak diuruskan dengan baik. Selain jalan-jalan ini yang sempit dan tidak lurus, perkara asas yang cukup merbahaya ialah ‘garisan putih’ yang sudah pudar. Sepatutnya pihak berkuasa perlu memberikan keutamaan kepada kemudahan ini kerana kajian yang tidak didedahkan kepada umum ialah faktor kadar kemalangan tinggi di jalan biasa banyak melibatkan keadaan laluan ini yang merbahaya dan tidak diselenggara dengan sewajarnya. Menariknya sejak dahulu dan kini, pihak berkuasa sering mendendangkan lagu yang sama..’punca kemalangan adalah kecuaian pengguna’, hingga kita selalu terlupa bertanya tugas sebenar mereka dalam soal-soal asas keselamatan di jalanraya yang sepatutnya menjadi keutamaan mereka .
Cr. Lukman Moidin & ShahfaliqTeo

Isnin, 3 Disember 2012

MOKHZANI, calon menang BN Kedah?

Kedah mempunyai 15 kerusi Parlimen dan hanya 4 sahaja yang dapat dipertahankan oleh Barisan Nasional pada tahun 2008. Antara kerusi parlimen tersebut ialah Langkawi, Kubang Pasu, Jerlun dan Alor Setar. Sama ada kita sedar atau tidak, semua kerusi tersebut adalah kawasan yang mempunyai kaitan dengan Tun Dr Mahathir.

Parlimen Alor Setar (Kota Setar) adalah parlimen pertama Tun bertanding. Manakala Kubang Pasu dan Langkawi sinonim dengan beliau sepanjang menjadi Perdana Menteri. Jerlun pula sebuah kawasan baru dan cuba dijadikan kubur politik Mukhriz pada PRU12, tetapi tanpa dijangka dan kuasa Yang Maha Esa, usaha jahat ini tidak terlaksana. Siapa sangka ‘magis’ dan ‘bisa’ negarawan ini masih kuat auranya dalam politik di Negeri Kedah.

Legasi perjuangan negarawan tersohor ini harus diteruskan melalui anak ketiga beliau iaitu Mokhzani. Beliau  adalah antara individu terbaik untuk memikul harapan dan cabaran untuk membantu kemenangan salah satu kerusi Parlimen di Kedah pada PRU13. Malah ramalan banyak kerusi yang dijangkakan akan kembali memihak kepada BN pada pilihnraya akan datang boleh menjadikan kehadiran 2 orang anak negarawan ini untuk mengukuhkan UMNO dan Barisan Nasional di Kedah.


Umum mengetahui ketika zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir, anak-anak beliau tidak dibenarkan bertanding. Selepas persaraan Tun, hanya Mukhriz sahaja dibenarkan aktif  berpolitik dan Mokhzani terpaksa mengalah. Keadaan kini sudah berubah, Tun Dr Mahathir harus membenarkan Mokhzani turun ke gelanggang membantu kemenangan BN Kedah.

Pengalaman menjadi Ketua Pemuda UMNO Merbok, Bendahari Pemuda UMNO Malaysia dan Bendahari UMNO Negeri Kedah adalah aset besar untuk Mokhzani terlibat semula secara aktif. Dengan kekayaan perniagaan dan diiktiraf  antara orang Melayu terkaya, beliau tidak perlukan jawatan politik untuk  mengumpul harta. Ketika politikus lain hanya mempunyai jaket keselamatan atau pelampong untuk berenang, Mokhzani sudah mempunyai bahtera untuk meredah dan belayar di samudera politik Malaysia. 'Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya' : 'Kalau tidak diberikan peluang, manakan nampak kehebatannya'.
  
Cr.Lukman Moidin & ShahfaliqTeo

Sabtu, 24 November 2012

Dr Asri yang 'tidak ku kenali'

Siapa tidak kenal Dr Asri Zainal Abidin bekas Mufti Perlis yang vokal dan berani. Ulama muda ini diakui amat petah berhujah dengan loghat bahasa memukau, gaya pengucapan yang yakin serta melambangkan keintelektualan seorang pembahas yang digeruni.

Mengikut rakan sekerja yang belajar bersama mantan mufti ini di Universti Jordan sekitar 1991-95. beliau  mengambil jurusan ‘bahasa Arab’ sebagai bidang pengajiannya untuk menguasai kepakaran sebagai Ilmuan Islam. Pasti bidang pengajian ini akan memudahkan beliau melontarkan ucapan dengan petah dan nahu penguasaan yang amat baik sesuai dengan peranan beliau ketika menjadi mufti atau tokoh pendakwah bebas sekarang. Beliau kini lebih dikenali sebagai ustaz yang 'tidak memihak' kepada mana-mana parti politik. Beliau kedangkala boleh menjadi ustaz PAS atau ustaz PKR, namun kadangkala boleh mengentam PAS khususnya mengenai hudud. Malah pendirian beliau hampir menyamai pandangan Chua Soi Lek dalam isu hudud yang mengaitkan parti tersebut sebagai punca kekeliruan terhadap Islam. Asri pernah menyatakan kekesalan terhadap PAS kerana tafsiran salah terhadap hukum hudud Allah yang sebenar. Dalam keadaan tertentu Asri boleh menjadi 'sesumpah' dan memakai baju yang berbeza mengikut suasana.   

Saya berkesempatan menemui Dr Asri dan berdialog dengan beliau. Sebelum dari itu saya adalah pembaca tulisan beliau di akhbar ketika itu. Bertemu di dalam satu program di Kuala Lumpur tidak lama dahulu menyebabkan saya berpelung mengenali ilmu Dr Asri dan menguji tahap pemikiran bekas mufti ini. Dengan mengemukakan beberapa soalan serta bertanya tentang  peringatan hadis Nabi SAW yang sahih mengenai isu kenegaraan membongkar banyak watak yang boleh dibaca. Beliau tidak banyak menjawap soalan tetapi amat bijak memusingkan soalan menyebabkan sesuatu isu itu ‘tergantung’.

Semasa jamuan, kami mengambil peluang duduk semeja, mengutarakan pelbagai isu. Ketika kami memberikan beliau sebuah buku untuk mendapatkan pandangan tentang beberapa Hadis Nabi, Asri tanpa membuka buku itu terus ‘menghempasnya’ di atas meja. Beliau melontarkan beberapa  pertanyaan kepada kami namun tidak pula menjawab beberapa soalan yang kami ajukan. Kami melayan anak muda yang ‘panas’ ini sambil melihat watak sebenar ilmuan ini. Beliau nyata agak terkesan dengan hukuman dan larangan berceramah oleh JAIS ketika itu, dan mengulas isu sebagai tindakan tidak wajar kerana menghalang aktiviti keagamaan dan dakwah.

Rakan saya melemparkan pertanyaan: Bagaimana sekiranya rakyat Malaysia dibenarkan memandu kenderaan tanpa perlu mengambil lesen? Lalu bagaimana jika ‘undang-undang’ negara yang dicipta untuk kebaikan ini tidak dipatuhi oleh rakyat dan mereka dengan bebas boleh membawa kenderaan di jalan-jalan raya? Dengan selamba rakan saya mengaitkan 'isu lesen memandu' dengan 'isu permit JAIS' kepada Asri. Beliau agak terkejut dengan lontaran pandangan kami.

Perbualan kami diteruskan kepada tajuk ketaatan kepada pemerintah, Dr Asri membawa pandangan kami kepada isu insitusi kesultanan Melayu. Sambil mempersoalkan keperluan insitusi ini yang menjadi lambang negara dan soal kos mengurus insitusi ini. Tampak beliau agak kurang bersetuju dalam isu dan cara kita melayan insitusi raja. Satu pandangan yang menyebabkan kami agak terkejut dan mula lebih mengenali watak beliau.

Belum terlambat untuk saya mengucapkan tahniah sekiranya benar beliau sudah menerima gelaran ‘Dato’ dari insitusi kesultanan kita. Namun jika beliau masih ingat perbualan kami pada ketika itu, dan berpegang pada ‘prinsip’ dan ‘tidak hipokrasi’, seharusnya beliau faham apa yang perlu dilakukannya dengan darjah tersebut.

Lama sebelum pertemuan ini, saya pernah dinasihatkan oleh seseorang alim agar jangan terlalu memuja seseorang selagi kita tidak berdamping dengannya. Hari itu adalah hari yang sangat bermakna untuk saya mendekati Dr Asri yang 'tidak saya kenali'.

Saya mengenang kembali lawatan di sebuah masjid lama di Mesir pada 2009. Kami ‘di bawa masuk’ oleh penunggu masjid yang kelihatan warak dan alim. Beliau berdoa dan melaungkan azan diruang utama masjid lama itu dengan penuh syahdu. Kami bersalaman dan ada yang mencium tangan ‘orang alim ini’ kerana rasa seronok dengan alunan zikir dan doa beliau. Semasa keluar, ‘orang alim’ ini mencuit kami dan meminta wang sebagai balasan.   Agama   kini kelihatan sudah menjadi barang dagangan untuk mendapatkan sesuatu termasuk pengaruh dan penghormatan.  Bersyukurlah kerana hidup kita ditentukan bukan sebagai ulama atau orang yang berstatus ilmuan Islam. Takut kelak ujian lebih besar akan datang seperti dua hadis berikut: 

Siapakah yang dirujuk oleh Nabi SAW dari dua hadis ini?... Daripada Abu Hurairah ra. berkata: Rasulullah SAW bersabda; “Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat darIpada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat)”.

Sabda Nabi SAW: "Di akhir zaman nanti, menjelang kiamat, orang fakih (ulama) pada zaman itu akan menjadi sejahat-jahat manusia (gelagat serta pendapat dan fatwa mereka) yang menimbulkan fitnah dalam masyarakat, tapi fitnah itu berbalik kepada mereka sendiri." (hadis riwayat Ibnu Umar & Imam Al Hakim dalam kitab Tarikh Naisabur

Cr.LukmanMoidin & ShahfaliqTeo