Ahad, 13 Februari 2011

TUN MAHATHIR KERAMAT HIDUP

Sebahagian besar dan majoriti rakyat Malaysia membesar dan melihat era kepimpinan Dr Mahathir. Legasi pemerintahnya menyumbang kesan yang bukan sedikit kepada era pemodenan dan pentadbiran negara dan tamadun bangsa yang bukan calang-calang. Beliau dilihat begitu gigih dalam segala perancangan dan tindakan menjayakan bangsa Melayu dan Negara Malaysia dengan cemerlang. Namun setelah perletakkan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri, kelihatan seperti beliau cuba untuk di bekukan dan dipadamkan dari perbualan rakyat Malaysia. Umum tahu,apabila tampok pemerintahan berubah, maka sudah semestinya Pak Lah harus diberikan keutamaan dan perlu dilihat jauh lebih hebat dari Tun Mahathir. Dalam keadaan ini, tindakan Pak Lah dan perancang utama yang berada di sekeliling beliau dilihat cuba untuk memadamkan sejarah cemerlang 22 tahun pemerintahan Dr Mahathir. Namun bukan semudah itu untuk membunuh kecemerlangan pemimpin ulung ini yang kalau pun tidak diikitiraf oleh segelintir kecil rakyat Malaysia yang masih berfikiran primitif tetapi seluruh dunia mengangkat ketokohan beliau sehingga hari ini. Pemikiran dan tindakan beliau amat sukar dibaca hingga kesan segala ucapannya sering mengemparkan rakyat dan ahli UMNO yang semakin hilang arah. Malah tindakan beliau juga memberikan impak yang begitu besar kepada PRU 12. Keluarnya beliau dari UMNO turut memberikan tempias yang bukan sedikit kepada UMNO hingga kesannya turut terpalit dalam pilihanraya di Permatang Pauh. Namun tindakan ini tidak lama apabila beliau menyatakan hasrat untuk bersama UMNO semula.

Kembalinya yang berbahagia Tun Dr Mahathir ke pangkuan UMNO merupakan perkhabaran gembira yang di nanti oleh ramai pejuang dan pendokong UMNO. Keluarnya Tun Mahathir dari UMNO tidak mendatangkan keuntungan malah memberikan impak yang amat besar kepada UMNO dan kerajaan. Kembalinya beliau untuk bersama UMNO dan Barisan Nasional harus mendapat penerimaan dan keterbukaan khususnya mengenai segala luahan dan pandangan yang perlu sentiasa diberikan perhatian oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional.
Kita tidak dapat menyalahkan Tun Mahathir yang mengumumkan keluar dari UMNO tidak berapa lama dahulu. kerana kecewa terhadap Pak Lah. Sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Pak Lah seharusnya melihat kembalinya Tun Mahathir ini sebagai cabaran dan tanggungjawab untuk memulihkan keadaan khususnya dalam UMNO dan Barisan Nasional. Semestinya Pak Lah telah memikirkan situasi untuk pemulihan UMNO dan Barisan Nasional sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Tun Mahathir suatu ketika dahulu. Malah jika keinginan Dr Mahathir untuk memaksa Pak Lah berundur kerana pandangannya yang jauh terhadap kepentingan negara dan bangsa, Pak Lah harus menilai perkara ini dari sudut positif dan rela berkorban untuk bangsa, agama dan negara. Kita tahu bukan mudah untuk Pak Lah melepaskan jawatan seperti mana Dr Mahathir meluahkan hasrat meletakan jawatan statu ketika dahulu hinggakan seluruh negara tersentak dan terkedu. Bezanya hari ini ialah apabila kebanyakkan ahli UMNO sendiri menginginkan Pak Lah melepaskan jawatan tanpa perlu menunggu tempoh 2010 demi survival UMNO dan Barisan Nasional. Dahulu, tempoh perletakan jawatan Dr Mahathir ditangisi bezanya sekarang, tempoh pengunduran Pak Lah dinanti-nanti.

Sebagai bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Tun Mahathir seharusnya diberikan tempat sejak dahulu lagi untuk menyampaikan pandangan bagi membantu UMNO dan Barisan Nasional. Ramai pimpinan UMNO tidak dapat menilai dari mata hati akan kata-kata Tun Mahathir yang dianggap seolah-olah mencampuri urusan kerajaan dan UMNO selepas persaraannya. Jauh di sudut hati kita berasa amat kesal apabila terdapat usaha meminggirkan Tun Mahathir selepas meninggalkan tampok pemerintahnya selama 22 tahun. Beliau tidak lagi dilihat penting dan berharga oleh UMNO dan Barisan Nasional dalam banyak keadaan dan keputusan. Cadangan dan pandangannya tidak pernah diambil peduli oleh pimpinan kerajaan hingga ada yang sanggup mencemuhnya. Beliau terlalu dilukai selepas melepaskan jawatan. Bagi saya Tun Mahathir bukan sebarang orang dan pandangannya selalunya lahir dari keikhlasan dan sayangkan bangsanya.

Amat menyedihkan apabila negarawan terbilang yang pernah berkorban ikhlas untuk agama, bangsa dan negaranya dianggap pengacau selepas era pemerintahnya berakhir suatu ketika dahulu. Tsunami politik pada 9 Mac 2008 amat berbeza dengan ombak kecil pada 1999 selepas pemecatan Dato Seri Anuar. Dr Mahathir masih berdiri kukuh walaupun selepas peristiwa September 1998 beliau antara pemimpin yang paling hebat menerima kecaman, hinaan, dan kata nista yang tidak terbayang akan dilemparkan oleh parti pembangkang mahupun ahli UMNO sendiri. Malah jauh dari itu solat hajat juga diadakan untuk tujuan buruk oleh sebahagian besar penyokong parti pembangkang. Menimbau persitiwa lama, penulis sendiri merupakan penyokong fanatik pembangkang yang ‘tertutup mata hati’

Ketika itu hinggakan merasakan kehilangan apabila Tun Mahathir mengumumkan pengundurannya pada tahun 2002. Tetapi dalam situasi yang tenang dan damai dalam era pemerintah Pak Lah, kemenangan parti pembangkang dan nasib malang yang menimpa UMNO dan Barisan Nasional tanpa diduga oleh sesiapa pun termasuklah parti pembangkang sendiri adalah sesuatu yang tidak dapat dibaca dan dijangka. Apa yang terjadi terhadap Barisan Nasional dilihat sebagai satu pengajaran dan setidak-tidaknya merenung kembali sikap dan layanan yang dilakukan terhadap Tun Mahathir sebelum ini telah memberikan kesan. Penghormatan dan jasanya yang tidak dihargai ketika beliau tiada jawatan sedangkan pengorbanannya jauh lebih besar dari yang kita fikirkan. Malah memetik kata-kata seorang ahli politik legasi Tun Mahathir, beliau antara seorang dari begitu ramai pemimpin yang dilahirkan dalam 100 tahun untuk melonjakkan tamadun sesuatu bangsa. Sesungguhnya jika benar kata-kata keramat itu maka Tun Mahathir adalah pemimpin yang seharusnya diletakkan dalam penghormatan negara selepas perletakan jawatannya. Semoga hari ini pimpinan UMNO dan Barisan Nasional dapat menginsafi peristiwa ini menoleh semula kebelakang untuk menghargai sumbangan beliau.

Sanjungan untuk Tun Mahathir tidak pernah luntur dari kebanyakkan rakyat Malaysia dan hampir diseluruh dunia khususnya dunia Islam. Adakah kita sedar dalam 22 tahun pemerintahnya berapa ramai rakyat Malaysia mendapat pekerjaan dan mampu menyara keluarga dan mengeluarkan zakat?. Janganlah kita lupa begitu ramai rakyat negara jiran juga datang mendapatkan sesuap nasi dan rezeki yang melimpah ruah untuk membantu keluarga mereka di negara asal. Lupakah kita bagaimana beliau sebagai pemimpin kita ketika itu mampu mempertahankan maruah umat Islam dari serangan Yahudi dan Nasrani pada ketika bangsa Arab membisu dan tidak berani mengangkat muka?. Sedikitkah jasa Tun Mahathir apabila berjuta umat Islam yang tertindas, miskin dan memerlukan bantuan seperti di Bosnia, Somalia, Afganistán, Sudan, dan lain-lain negara Islam mendapat simpati dan pertolongan segera dalam pelbagai bentuk bantuan seperti ketenteraan, pembangunan, derma, pendidikan dan pelbagai sokongan lain semasa era pemerintahnya?. Jika dunia Islam mengakui dan mendoakan kesejahteraan beliau dan Allah Maha Mengetahui isi hati dan keikhlasan hambanya maka sebagai sesama manusia adakah wajar kita menzalimi segala jasa dan pengorbanan Tun Mahathir kepada bangsa, agama dan negara. Malah pengorbanan beliau melangkau benua dan sempadan yang tidak mampu diharungi oleh pemimpin negara Islam yang lain pada ketika negara mereka kaya raya dan mewah tetapi terbatas dari segi kemampuan untuk membantu negara lain.

Malah pembangkang sendiri telah mengakui kehebatan Tun Mahathir dalam menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun. Jika banyak pimpinan negara seperti di Singapura meletakkan bekas pemimpin mereka sebagai penasihat demi membina negara bangsa yang telah diasaskan mereka termasuk parti pembangkang seperti PAS dan DAP juga meletakkan bekas presiden atau pemimpin utama mereka sebagai penasihat parti untuk meneruskan kesinambungan sokongan dan khidmat nasihat untuk memperkukuhkan sokongan. Persoalannya, mengapa UMNO dan Barisan Nasional tidak boleh meniru situasi yang boleh memberikan kebaikan kepada agama, bangsa dan negara ini?. Masih butakah kita untuk menilai segala sumbangan jariah dan pemikirannya yang menyebabkan bangsa dan agama kita kembali diikitraf setelah sekian lama dijajah. Ingatlah bahawa bangsa Melayu adalah antara bangsa terakhir menerima ajaran Islam, tetapi di atas sumbangan dan pemerintahan beliau orang Melayu menjadi bangsa yang boleh membantu seluruh umat Islam.

Tun Mahathir bagi saya adalah ‘Keramat Hidup’ yang berbisa kata-katanya, selalu betul dalam segala tindakannya, terlalu mendalam pandangannya dan jarang dari kita membaca gerak hatinya. Pengalaman panjang sebagai seorang negarawan yang ikhlas jiwanya tidak seharusnya diketepikan. Malanglah bagi UMNO jika Parti Keramat ini meminggirkannya dalam pelbagai perkara. Dengan Keramat UMNO dan keikhlasan Tun Mahathir pasti kita dapat memulihkan UMNO yang berjasa ini. Pandangan Tun Mahathir bukan sekadar ucapan biasa kerana setiap lontaran ucapannya mengandungi azimat yang beliau nampak dari firasatnya sebagai bekas pemimpin ulung bangsa Melayu. Fikirkan sejenak duhai pimpinan dan ahli UMNO, beliau bukan calang-calang orang kerana Tun Mahathir ialah seorang pemikir, penulis, pengkaji, pénelaah, tidak tamak kuasa, memiliki daya intuitif yang sangat tinggi, tidak mudah percaya dan menerima segala maklumat dengan membuat kajian, tidak mudah berjanji tetapi jika berjanji akan ditepati. Beliau sangat menghormati masa, tiada kepentingan diri apatah lagi kroni, tidak khianat kepada sesiapa kerana keikhlasan sepenuhnya dicurahkan kepada UMNO yang amat disayanginya. Malanglah bagi kita jika membiarkan Tun Mahathir berada di luar gelanggang. Beliau sewajarnya dihormati kerana pengalaman dan pandangannya yang tidak menjangkau pemikiran kita. Rugilah untuk UMNO jika masih gagal menilai kehebatannya dan ketokohnya untuk memperkasakan UMNO kembali. Saya pernah mencadangkan kepada pimpinan negara selepas PRU 12 dan sekali lagi mahu mencadangkan agar Tun Mahathir dilantik sebagai PENASIHAT AGUNG UMNO dan Penasihat Negara sementara hayatnya masih ada kerana kebangkitan UMNO dan Hidupnya UMNO dan kehebatan negara Malaysia adalah pengorbanan beliau yang perlu diakui dengan tulus ikhlas dari kita sebagai pendokong Parti Keramat ini.

Tiada ulasan: