Sabtu, 30 Ogos 2014

Perlunya ‘Kongres’ menyatupadukan ummah


Oleh Feriz Omar

Artikel Penuh: 
© Utusan Melayu (M) Bhd 



UMAT Islam di Malaysia hari ini sedang berdepan dengan pelbagai cabaran dan ancaman yang menyesakkan. Daripada permasalahan yang dicetuskan arus gelombang ‘Islam liberal’, ajaran-ajaran sesat yang berleluasa,
bawaan fahaman-fahaman luar yang mengelirukan (yang ada perbezaan tertentu berbanding fahaman mazhab-mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah), hinggalah kepada perpecahan yang tercetus gara-gara kefanatikan politik yang melampau.

Lantaran dari itu, umat Islam dilihat bagaikan hilang punca, lemah dan tidak lagi mempunyai kekuatan iman yang sejati. Jauh daripada menjadi model akhlak kepada penganut-penganut agama lain, pencapaian Islam dilihat mundur serba-serbi sementara generasi muda pula dilihat semakin lari dari nilai dan penghayatan roh Islam. Apa yang dibimbangi tentunya ialah kesan buruk terhadap masa depan Islam dan Melayu selaku tunggak utama peneraju negara.

Menjiwai Erti Kata Mentauhidkan Allah

Hakikatnya, kesemua isu ini timbul oleh kerana kegagalan kefahaman dan pendefinisian Islam itu sendiri. Seandainya dari aspek pentauhidan Allah dan kekuatan akidah itu sendiri pada asasnya lesu, luntur dan kucar- kacir, bagaimanakah mungkin penjiwaan Islam yang hakiki mampu hadir dalam terjemahan realiti?
Inilah silapnya. Di sinilah hadir puncanya.
Bagi golongan muda-mudi, dapat dilihat bagaimana rapuhnya iman dan kekuatan jiwa mereka yang mudah ‘diresapi’ oleh hiburan Barat, budaya kuning dan liar yang melalaikan serta terlibat dalam pelbagai jenayah serta gejala sosial.

Bagi yang berpelajaran, dek kerana asas akidah yang tidak kukuh, sesetengahnya teraba-raba mencari erti kata rasional yang berakhiran dengan melibatkan diri dengan ajaran-ajaran sesat dan fahaman-fahaman yang menyimpang atau terlalu berbeza daripada pandangan-pandangan dalam mazhab-mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Lebih buruk dari itu, ada yang dikatakan terjerumus ke dalam gejala yang lebih dahsyat seperti murtad.

Dari kalangan kumpulan umur yang lebih ‘senior’, masalah kefahaman Islam pula terbentuk gara-gara mentaliti ‘ikut-ikutan’ yang telah terpupuk dalam minda masyarakat Melayu sejak sekian lama. Fenomena mentaliti ‘ikut-ikutan’ ini menyebabkan kurangnya minat penggalian dan sintesis ilmu.

Kesan dari itu, terjadilah perlakuan taksub membuta-tuli, semberono dan ‘ikut apa saja’ oleh segelintir umat Islam terhadap ‘imam yang dianuti’ sekalipun yang diserunya ialah ke arah perpecahan ummah!

Dalam masa sama, musuh-musuh Islam juga tidak pernah leka merencana pelbagai gerakan yang bertujuan memecah belah dan menjahanamkan Islam. Ia dimulai dengan pewarisan sistem ‘divide and rule’ yang disemai ketika era penjajahan, penyebaran dakyah-dakyah modenisasi yang meninggi-ninggikan budaya Barat, gerakan-gerakan tersusun ‘bawah tanah’ hinggalah kini pula strategi ‘penjajahan alaf baru’ dan penggunaan helah muslihat menggunakan ‘pemimpin boneka’.

Hakikatnya, kalau dari aspek asas sendiri kita telah gagal untuk menjiwai roh Islam, tentulah sukar untuk menangani cabaran-cabaran Islam dari luar yang lebih besar. Justeru, kita kini sebenarnya terdesak di suatu posisi yang menuntut supaya kembali kepada kebenaran Islam.

Kembalikan Roh Islam Melalui Kongres Perpaduan!

Atas kesedaran inilah saya terfikir, alangkah baik sekali kalau-kalau ada usaha dalam bentuk simposium dan perhimpunan yang mampu menyatupadukan kembali umat Islam.

Mesej suci 1Malaysia yang dibawa Datuk Seri Najib Tun Razak hakikatnya akan lebih mudah dilentur dan dipupuk dalam jiwa masyarakat Malaysia seluruhnya, jika keutuhan perpaduan Melayu dan penjiwaan Islam dapat direalitikan ke tahap terbaik dan paling perkasa terlebih dahulu.

Kongres sebegini, jika diadakan tidak mustahil bakal menjadi suatu medium dan instrumen pemangkin, menyedarkan umat Islam terhadap cabaran dan ancaman yang terbentang. Sekali gus mengajak umat Islam kembali kepada Allah dan ajaran-Nya yang sejati.

Kalau hendak dirujuk sepanjang tahun lepas dan isu-isu berkaitan kepentingan Islam pada awal tahun ini, ramai yang pasti bersetuju bahawa kongres sebegini sebenarnya perlu diadakan pada peringkat nasional supaya impak mesejnya lebih meluas.

Namun sebagai permulaan, ada baiknya juga kita mula ‘bertatih’ di negeri-negeri yang berkecamuk. Jika hendak katakan saya prejudis dan memihak pun tidak apalah, tetapi pada saya negeri-negeri yang huru-hara secara nyatanya adalah negeri-negeri yang diperintah pakatan pembangkang!

Ambil sajalah contoh seorang Ahli Parlimen pakatan pembangkang yang baru-baru ini mencabar Mufti Perak meletak jawatan kerana kenyataan ikhlas beliau demi perpaduan umat Islam. Siapa beliau hendak mencabar Tan Sri Harussani dan lebih penting lagi apa kelayakannya hendak menegur? Sedangkan teguran Harussani nyata terang-terang atas kapasiti mufti dan demi kebaikan semata-mata!

Lantaran itu, memulakan usaha suci ini di negeri-negeri tersebut dilihat sebagai kritikal. Insya-Allah, kalau hati jujur ikhlas dan semangat pula kekal tabah, masa pasti akan membuktikan cita-cita ke arah kesatuan ummah dan masa depan Islam yang cemerlang akan menjadi realiti jua.

Seterusnya meletakkan ummah ke atas landasan kemajuan yang sempurna; tidak hanya pada ekonomi kukuh dan teknologi ampuh, tetapi juga pencapaian masyarakat Malaysia yang tinggi akhlaknya!

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

CR.LukmanMoidin & ShahfaliqTeo

Isnin, 14 Oktober 2013

LHDN: Beban percukaian golongan sederhana

Terlebih dahulu golongan kakitangan awam yang bergaji sederhana amat menghargai kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berhubung ura-ura 'berita gembira' pelepasan cukai untuk golongan ini. Untuk makluman LHDN dan Kementerian Kewangan, sejak sekian lama golongan ini amat tertekan dalam isu pelepasan cukai ini yang tidak dikaji, malah tidak relevan dan boleh disifatkan tidak adil dan agak menindas golongan ini. 

Kajian semula sepatutnya dilakukan terhadap kemampuan kewangan golongan ini yang sebahagian besarnya terpaksa membuat kerja sambilan atau membuat penjimatan perbelanjaan. Menambah derita apabila kadar pelepasan cukai oleh LHDN amat tidak relevan dengan kos perbelanjaan mereka yang diluar dari kemampuan untuk membayar cukai. Menambah kekecewaan bila melihat golongan yang 'tidak membayar cukai' tetapi hidup mewah khususnya di kalangan peniaga tertentu, penduduk luar bandar yang hidup mewah pula menikmati BR1M hasil dari wang golongan ini. Jika dikaji pendapatan peniaga-peniaga ini, juga penoreh getah dan penanam kelapa sawit adalah berkali ganda kekayaan mereka berbanding golongan seperti ini.

Walaupun pendapatan golongan sederhana kelihatan tinggi, namun setelah ditolak berbagai potongan, ianya berbaki sekitar RM2000. Kenaikan kos keperluan rumahtangga yang merangkumi bil-bil dan lain-lain pun tidak dapat ditampung dengan baki gaji berkenaan. Keadaan mungkin sedikit lega jika pasangan turut bekerja. Banyak kos-kos lain tidak diambil kira oleh LHDN seperti kos bayaran bulanan kenderaan dan penyelenggaran serta kos pembantu rumah juga pengasuh anak-anak.

LHDN dan Kementerian Kewangan juga diharap mengkaji rebet perbelanjaan diri dan dirangkumkan dengan kos semasa serta tanggungan termasuk sumbangan kepada ibu bapa pekerja. Di dalam pelepasan cukai sedia ada hanya dikhususkan kepada bayaran perubatan tetapi dalam situasi sebenar setiap anak dituntut oleh agama membantu kos kehidupan hari tua ibu bapa mereka. Dalam situasi ini seharusnya LHDN mengkaji semula rebet ini dan disesuaikan sebagai kos tetap yang mesti disediakan oleh anak-anak kepada ibu bapa. Pembuktian boleh dilakukan melalui transaksi bank atau kaedah lain yang wajar.

Kerajaan juga boleh memasukkan kos percutian dan umrah sebagai rebet pengecualian cukai bagi mengalakkan aktiviti kekeluargaan. Kos umrah sebagai contoh adalah agak tinggi dan menjadi impian golongan berpendapatan sederhana, alangkah baiknya jika ibadah ini turut mendapat pelepasan cukai bagi mengalakkan lebih ramai umat Islam menabung dan memperuntukan perbelanjaan mengerjakannya.

Semoga pandangan ini diambil peduli oleh Kementerian Kewangan khususnya dalam pembentangan Bajet 2014 kelak. Percayalah impak kelonggaran rebet cukai kepada golongan sedehana ini mempunyai kesan besar yang mampu mengubah langskap politik negara khususnya sokongan kepada Barisan Nasional.

Cr.LukmanMoidin & ShahfaliqTeo

Isnin, 31 Disember 2012

Kajian semula AES di LEBUHRAYA

Polemik AES amat perlu mendapat perhatian kerajaan lebih-lebih lagi ianya semakin menjadi ‘senjata makan tuan’.  Walaupun tujuan AES dan saman ekor adalah untuk ‘mengawal had laju’ tetapi terdapat kesan ‘kurang bijak’ dalam kaedah dan perlaksanaan  yang menimbulkan rasa tidak puashati di kalangan orang ramai.  Malah terdapat pihak tertentu kini menggunakan isu ini dengan ‘bijak’ melalui stiker kenderaan ‘1 saman ekor, 1 undi protes’.

Mengapa pandangan NGO seperti CEUPACS tidak diendahkan oleh pihak berkuasa dalam isu AES? Dalam isu ini saya tidak menentang tujuan baik oleh penguatkuasa undang-undang, tetapi isu utama ialah cara dan kaedah pemasangan AES di lebuhraya berbayar perlu dinilai semula.   
Kita perlu melihat dan menilai iklan rakaman kemalangan yang ditayangkan di television baru-baru yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa sebagai usaha menyakinkan pengguna keperluan pemasangan AES di negara kita. Agak menarik dan perlu diberikan fokus ialah  semua rakaman kemalangan di dalam rakaman CCTV tersebut adalah berlaku di ‘lampu isyarat’.  Timbul tandatanya mengapa perlu AES di pasang di lebuhraya? Bukti rakaman itu pun sudah menjawab keperluan AES adalah di semua persimpangan lampu isyarat. Stastik kemalangan juga membuktikan secara jelas bahawa kadar kemalangan setiap hari di lebuhraya amatlah kurang kerana tahap keselamatan dan keselesaan memandu di lebuhraya agak tinggi berbanding di jalan persekutuan atau jalan negeri. Malah jika statistik ini diambil kira, pihak berkuasa sepatutnya memasang lebih banyak AES di jalan persekutuan dan jalan negeri,,BUKAN DI LEBUHRAYA!
Rakyat pasti tidak akan membantah jika pihak berkuasa memasang AES di persimpangan lampu isyarat di seluruh negara. Melanggar lampu isyarat adalah pelanggaran undang-undang sejagat dan tidak patut dimaafkan. Namun ‘pelanggaran had kelajuan’ dilebuhraya perlu dilihat dalam konteks yang berbeza.
Jika kata-kata ‘kelajuan itu membunuh’ diambil sebagai asas, maka lebuhraya kita sepatutnya tidak memerlukan ‘lorong pandu laju’ atau lorong memotong. Malah kenderaan membawa pemimpin yang diiringi peronda khas juga harus mematuhi had kelajuan biasa  kerana dikhuatiri pemimpin akan maut akibat ‘kelajuan melampau’.  Pemandu kereta ambulan dan bomba juga perlu berasa bimbang kemungkinan akan maut kerana mengejar masa. 
Namun jika pihak berkuasa masih lagi melihat keperluan AES di lebuhraya, kita mencadangkan peraturan agar  setiap kenderaan yang direkacipta dan dipasarkan di negara kita mempunyai had  kelajuan setakat 110km sejam sahaja..!
Untuk mengatasi kemalangan maut pula (yang kononnya amat tinggi di lebuhraya), maka AES hendaklah dipasang di sepanjang lebuhraya dalam jarak setiap satu kilometer..!
Sebagai pengguna lebuhraya berbayar, kita harus membaca psikologi pengguna lebuhraya yang  memandu melebih 110 hingga 140km sejam.  Selain mengatasi masalah mengantuk, pemandu juga mempunyai keinginan menekan minyak sesuai dengan kapasiti enjinnya.  ‘Kelajuan’ adalah perkara subjektif yang ‘sukar dikawal’ secara semulajadi apabila pemandu melihat  lebuhraya yang luas dan selamat berbanding memandu di jalan biasa.  Saya fikir kelajuan di dalam batas sempadan tertentu harus dilongarkan sesuai dengan keadaan lebuhraya kita.  
Dalam masa yang sama agensi penguatkuasa perlu menumpukan soal  keselamatan asas kenderaan seperti tayar botak, sistem brek, lampu kenderaan dan masalah lain yang disetiap kenderaan. Penumpuan khusus perlu diberikan kepada penyelenggaraan jalan persekutuan dan negeri yang kebanyakkannya tidak diuruskan dengan baik. Selain jalan-jalan ini yang sempit dan tidak lurus, perkara asas yang cukup merbahaya ialah ‘garisan putih’ yang sudah pudar. Sepatutnya pihak berkuasa perlu memberikan keutamaan kepada kemudahan ini kerana kajian yang tidak didedahkan kepada umum ialah faktor kadar kemalangan tinggi di jalan biasa banyak melibatkan keadaan laluan ini yang merbahaya dan tidak diselenggara dengan sewajarnya. Menariknya sejak dahulu dan kini, pihak berkuasa sering mendendangkan lagu yang sama..’punca kemalangan adalah kecuaian pengguna’, hingga kita selalu terlupa bertanya tugas sebenar mereka dalam soal-soal asas keselamatan di jalanraya yang sepatutnya menjadi keutamaan mereka .
Cr. Lukman Moidin & ShahfaliqTeo

Selasa, 6 November 2012

Hadis Terbaik dan Lengkap: Amalan Untuk Selamat Dunia & Akhirat

Telah berkata Imam Mustaghfirin: “Aku tidak pernah menemui hadis sebegini lengkap merangkumi kesempurnaan agama dan kehidupan selain hadis ini.”

Daripada Saidina Khalid bin Al-Walid RA berkata “Telah datang seorang Arab desa kepada Rasulullah SAW dan dia menyatakan tujuannya: Wahai Rasulullah! Kedatanganku untuk bertanya engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku di dunia dan akhirat.”

Rasulullah berkata kepadanya: “Tanyalah apa yang engkau kehendaki.” Arab desa itu berkata: Aku mahu menjadi orang alim. Baginda menjawab, "Takutlah kepada Allah SWT"


Dia bertanya lagi: “Aku mahu menjadi orang paling kaya.” Rasulullah menjawab: “Jadilah orang yang yakin pada diri.” Bertanya lagi Arab desa itu: “Aku mahu menjadi orang yang adil.” Lalu dijawab Rasulullah: “Kasihanilah manusia lain seperti engkau kasih pada diri.”
Dia bertanya: “Aku mahu menjadi orang paling baik.” Baginda menjawab: “Jadilah orang yang berguna kepada masyarakat.” Dia bertanya lagi: “Aku mahu menjadi orang istimewa di sisi Allah,” dan dijawab Rasulullah: “Banyakkan zikrullah.”
Arab desa itu bertanya: “Aku mahu disempurnakan imanku.” Baginda menjawab: “Perelokkan akhlakmu.” Dia bertanya lagi: “ku mahu termasuk dalam golongan orang yang muhsini (baik). “ Beribadatlah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya dan jika engkau tidak berasa begitu, sekurang-kurangnya engkau yakin Dia tetap melihat engkau.”
Arab desa bertanya lagi: “Aku mahu termasuk dalam golongan yang taat,” lalu dijawab baginda: “Tunaikan segala kewajipan yang difardukan.” Dia bertanya lagi: “ Aku mahu berjumpa Allah dalam keadaan bersih daripada dosa.” Rasulullah menjawab: “Bersihkan dirimu daripada najis dosa.”
Dia terus bertanya: “Aku mahu dihimpun pada hari kiamat di bawah cahaya.” Baginda menjawab: “Jangan menzalimi seseorang.” Dia bertanya lagi: “Aku mahu dikasihi oleh Allah pada hari kiamat.” Baginda berkata: “Kasihanilah dirimu dan kasihanilah orang lain.”
Dia bertanya: Aku mahu dihapuskan segala dosaku.” Baginda menjawab: “ Banyakkan beristighfar.” Dia berkata: “ Bagaimana pula aku mahu menjadi semulia-mulia manusia,” lalu baginda menjawab: “Jangan mengesyaki sesuatu perkara pada orang lain.”
Dia bertanya Rasulullah: “Aku mahu menjadi segagah-gagah manusia.” Baginda menjawab: “ Sentiasa menyerah diri (tawakal) kepada Allah.” Dia bertanya lagi: “Aku mahu dimurahkan rezeki oleh Allah.” Baginda menjawab: “ Sentiasa berada dalam keadaan bersih (daripada hadas).”
Dia bertanya: “Aku mahu termasuk dalam golongan yang dikasihi Allah dan rasul-Nya.” Baginda menjawab” Cintailah segala yang disukai Allah dan rasul-Nya.” Dia bertanya: “ Aku mahu diselamatkan daripada kemungkaran Allah pada hari kiamat.” Baginda menjawab: “ Jangan marah kepada orang lain.”
Dia bertanya lagi kepada Rasulullah: “Aku mahu diterima segala permohonanku.” Baginda menjawab: “Jauhilah makanan haram.” Dia bertanya: “ Aku mahu Allah menutupkan segala keabianku pada hari kiamat.” Baginda pun menjawab: “Tutuplah keburukan orang lain.”
Dia bertanya: “Siapa yang terselamat daripada dosa?” Rasulullah menjawab: “Orang yang sentiasa mengalir air mata penyesalan, meraka yang tunduk pada kehendak-Nya dan meraka yang ditimpa kesakitan.”
Dia terus bertanya: “Apakah sebesar-besar kebaikan di sisi Allah?” Baginda menjawab: “Elok budi pekerti, rendah diri dan sabar dengan ujian (bala).” Dia bertanya lagi: “ Apakah sebesar-besar kejahatan di sisi Allah?” Baginda menjawab: “Buruk akhlak dan sedikit ketaatan.”
Dia bertanya: “Apakah yang meredakan kemurkaan Allah di dunia dan akhirat?” Baginda menjawab: “ Sedekah dalam keadaan sembunyi (tidak diketahui) dan menghubungkan kasih sayang.”
Dia bertanya lagi: “Apa yang akan memadamkan api neraka pada hari kiamat?” Baginda menjawab: “Sabar di dunia dengan bala dan musibah.”

Catatan: Tugas anda yang seterusnya adalah berkongsi hadis Nabi SAW ini dengan orang lain, moga ianya memberikan manfaat kepada semua.
Cr Lukman Moidin & ShahfaliqTeo