Sabtu, 6 Ogos 2011

Mengatasi pelajar kurang ajar


 
Ketika membaca isu 33 orang pelajar yang kononnya 'didera' dalam program motivasi anjuran SMK Bandar Baru Uda dan Jabatan Penjara Kluang, saya terpanggil mengulas isu ini kerana kebanyakkan peserta yang terlibat ialah pelajar yang berusia 16 tahun. Mengapa pihak sekolah mengajurkan program agak 'keras' dan 'hardcore' untuk mereka ? Ini persoalan asas yang perlu diketahui oleh orang ramai.  Tentu ada sebab yang wajar pihak sekolah terpaksa memikirkan kaedah dan pendekatan yang sesuai dalam menghadapi kumpulan pelajaran tingkatan 4 di sekolah berkenaan dan salah satu kaedah ialah mengadakan program simulasi di dalam penjara. Saya yakin pelajar yang 'terpilih' ini mempunyai rekod yang perlu diperbaiki dengan melalui program berkenaan. Jika melihat cara serangan dan kata-kata kesat ibu bapa terhadap pengetua dan pihak JPN Johor, maka kita sudah boleh mengagak bagaimana kurang ajarnya sikap anak-anak mereka di sekolah. 

Selain itu, bagi mengatasi masalah disiplin, satu program Pra PLKN wajar diberikan kepada pelajar lelaki tingkatan yang naik ke tingkatan 4 melalui pemilihan guru atau cadangan dari ibu bapa. Program Pra PLKN atau program seumpamanya harus menerapkan asas disiplin dan penekanan pembentukan jati diri agar mereka dapat diasak dan diasuh untuk mematuhi peraturan sekolah. Syarat wajib dan latihan asas ketenteraan mungkin wajar diterapkan dan pelajar tingkatan 4 ini dihantar ke kem tentera selama sebulan sebelum masuk ke bilik darjah. Peranan guru disiplin dan guru-guru semakin terbatas dan mengudang pelbagai risiko. Justeru melalui peraturan dan sistem baru diharap dapat mengembalikan semangat kaum guru untuk terus mendidik dengan ikhlas. Jadikan suasana sekolah sebagai tempat yang benar-benar 'selamat' dan 'selesa' untuk guru mengajar dan murid belajar.

Tiada ulasan: