Saya tertarik mengulas apabila semakin banyak syarikat insurans konvesional kini berusaha memohon lesen takaful. Sehingga kini sudah 9 lesen takaful dikeluarkan oleh BNM bagi merancakkan industri dan sistem kewangan Islam. Ianya adalah satu kejayaan untuk negara kita yang mempunyai komitmen menyedarkan orang Islam bagi memilih produk takaful berbanding konvesional. Namun saya ingin memohon perhatian dan tindakan Bank Negara Malaysia agar mewajibkan syarat hanya orang Islam sahaja boleh menjadi wakil untuk memasarkan produk berkenaan.
Banyak kesan negatif jika wakil bukan Islam dibenarkan memasarkan produk takaful hayat kepada orang-orang Islam. Ianya seumpama ‘masakan orang Islam’ yang boleh dimakan bukan Islam, tetapi ‘masakan bukan Islam’ (walaupun halal) harus dielakkan oleh umat Islam dan tentunya dikhususkan kepada bukan Islam. Begitulah juga kiasan bagi produk Takaful dan syarat menjadi wakil Takaful haruslah beragama Islam. BNM dan Persatuan Wakil Takaful juga harus mengkaji syarat AKAD yang mesti dilakukan oleh Wakil Takaful dan bagaimana situasi ini apabila melibatkan penjualan produk takaful dari wakil bukan Islam kepada orang Islam ? Jika perkara ini dibiarkan, wakil atau agen bukan Islam akan ‘menjaja’ ayat Al Quran dalam mencari peluang dan pendapatan. Contoh ini sudah kita lihat dalam kegawatan politik apabila ahli politik bukan Islam mencemarkan kesucian agama kita dengan menjaja ayat Al Quran. Perkara ini sebenarnya sudah berlaku apabila sebuah syarikat takaful (Etiqa Takaful) membenarkan agen bukan Islam memasarkan produk takaful bagi ‘meraih’ komisyen dari masyarakat Islam.
Mereka pasti akan ‘memanfaatkan’ peluang sebagai agen takaful untuk pasaran masyarakat Islam . Cuba pihak Bank Negara Malaysia bayangkan bilamana agen ini menyeru klien dan menceritakan kehebatan sistem kewangan Islam dan takaful tetapi mereka masih tidak beriman dan secara jelas sebenarnya bermotifkan keuntungan dengan memperkudakan produk takaful.
Sehubungan itu, BNM dan Persatuan Agen Takaful perlu tegas dalam hal seperti ini agar nasib agen takaful yang beragama Islam lebih terbela di dalam industri ini. Malah jika BNM atau syarikat takaful sangat berminat untuk membenarkan agen bukan Islam menjual produk takaful keluaran syarikat mereka, maka saya ingin mencadangkan agar agen bukan Islam ini hanya dibenarkan menjual produk takaful kepada kaum mereka atau pelanggan bukan Islam sahaja. Semoga melalui cara ini, dakwah Islam boleh disebarkan secara tidak langsung apabila wakil dan pelanggan bukan Islam melihat ‘kecantikan’ produk takaful berbanding konvesional. Sekali pun mereka belum memeluk Islam tetapi untuk menjalankan perniagaan ini mereka terpaksa belajar dan memahami seterusnya menjelaskan kepada masyarakat bukan Islam tentang kelebihan produk takaful. Saya mengharapkan agar perkara ini diberikan perhatian khusus serta satu peraturan segera dikeluarkan untuk menjaga nilai dan kemurnian produk-produk takaful serta sistem kewangan Islam. Ambilah contoh paling terbaru, apabila bukan Islam tidak dibenarkan menjadi peguam syarie..fikirkanlah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan