Sabtu, 4 Ogos 2012

Kesilapan Suami Isteri Mengurus Kewangan (Siri 1)

Saya gemar membelek Majalah Mingguan Wanita dan sering membaca ruangan Mengurus Kewangan tulisan seorang penulis dan penasihat kewangan beragama hindu tetapi sangat arif dalam sistem kewangan Islam. Banyak ilmu yang saya kutip di situ. Saya juga pernah beberapa kali menghantar email kepada sahabat saya ini untuk menulis beberapa topik yang boleh membantu kaum wanita memahami isu-isu dalam pengurusan kewangan. 

Namun bagi siri ini saya ingin berkongsi satu pengalaman yang boleh dijadikan iktibar oleh pasangan suami isteri agar boleh mengelak dari terjadi kepada kita sendiri. 

KES 1 : Peristiwa ini berlaku beberapa tahun lalu ketika saya membuat tuntutan kematian sahabat saya seorang pensyarah di sebuah IPG di Utara. Isterinya surirumah sepenuh masa dan mereka mempunyai seorang anak istimewa (OKU). Arwah meninggal secara mengejut ketika sedang memberikan kuliah. Beliau tiada rekod penyakit dan difahamkan kematiannya adalah disebabkan kolestrol dalam darah yang tinggi dan menyekat saluran darah ke jantung.

Ketika tuntutan insuransnya dilakukan, saya dinasihatkan oleh beberapa orang sahabat arwah agar membuat tuntutan itu tanpa mendedahkan kepada keluarga arwah. Entah bagaimana saya dihubungi oleh abang kepada arwah dan bertanyakan insurans si mati. Saya mencipta alasan dan selepas itu tidak menghubungi kembali abang arwah. Ada 3 polisi arwah rakan saya ini dan dua darinya diuruskan oleh saya. Ketika tuntutan dibuat, berlaku sedikit masalah kepada isteri rakan saya kerana arwah tidak meletakkan PENAMA atau WASI. Namun dalam kesukaran, isteri arwah terpaksa membuat Akuan Sumpah dan akhirnya proses tuntutan itu berjaya diuruskan. Ketika menerima cek tuntutan saya membuat penyerahan dengan ditemani rakan pensyarah di IPG berkenaan. Saya dinasihatkan tidak menghebahkan penyerahan ini di mana-mana media. Saya menghormati permintaan tersebut. Permintaaan ini ada kaitan dengan sikap tamak dan tidak berperikemanusiaan adik beradik kepada arwah rakan saya ini dan mahukan bahagian mereka dari tuntutan insurans tersebut.

KES 2 : Dalam satu taklimat di sebuah jabatan, isu ini saya bongkar. Seorang Penolong Pengarah mengatakan kejadian tersebut juga berlaku kepada jirannya. Mengikut cerita beliau, pasangan suami isteri ini bertugas sebagai guru dan suaminya meninggal dunia dan terdapat beberapa polisi insurans. Akibat TIDAK meletakkan PENAMA, maka kaum keluarga si suami yang juga terpelajar turut campurtangan menuntut bahagian mereka.

Kedua-dua peristiwa ini  harus menjadi pengajaran kepada kaum wanita dan juga para suami agar sentiasa peka dalam isu PENAMA dalam segala urusan harta atau simpanan. Ramai yang mengambil ringan perkara ini tetapi hakikatnya ketika si suami meninggal dan mempunyai sedikit wang atau harta, ketika ini para syaitan akan datang meracun minda manusia agar bersikap tamak haloba. Perasaan simpati dan belas kasihan melihat anak yatim yang juga anak saudara mereka ketika itu boleh lenyap disebabkan kelabu mata. Ketika itu ada yang terlupa dosa memakan harta anak-anak yatim walaupun sesen akan menyebabkan kita tidak mencium bau syurga. 

Cr.Lukman Moidin & ShahfaliqTeo