Ahad, 21 Ogos 2011

Julai: Ketentuan Yang Indah


Banyak peristiwa menarik berlaku dalam Julai 2011. Kesempatan bertemu dan berkomunikasi sebanyak 2 kali dengan YAB Dato Seri Mohd Najib, Perdana Menteri Malaysia boleh dibaratkan satu rezeki dan tuah yang tidak diduga. Saya bersama rakan GPMS Kedah menyertai Konvensyen Guru-Guru Muda (KOGUM) di UiTM Shah Alam pada 8 Julai. Malam itu, Presiden GPMS, Saudara Jais Abdul Karim yang terlihat kelibat saya dengan spontan memanggil dan memperkenalkan kepada YAB PM, Katanya “Dato Seri, ini Lukman Moidin, aktivis GPMS Kedah’. Tersentak juga kerana tiba-tiba dipanggil dan terus bersalaman dengan PM. Kesempatan emas itu saya menyampaikan satu pandangan kepada beliau.  Selesai majlis saya menerima berita kematian bapa mertua adik saya di Senai, Johor dan terus bergegas pulang dan tiba jam 3 pagi di Batu Pahat. Rakan GPMS  Kedah terpaksa di tinggalkan di UiTM.

            Takziah untuk Jamilah Kunyin (adik ipar) dan Al Fatihah untuk roh arwah ayahnya.  Setelah menziarahi bersama bapa dan emak ke rumah besan mereka, kami sempat singgah rumah dua pupu yang terletak berhampiran Senai. Mumtaz Aini Alawi adalah wartawan penyiaran RTM yang sedang pulang bercuti dan menyambung pengajian di USA. Beliau bakal melangsungkan perkahwinan pada minggu berikutnya, yang pasti saya tidak dapat hadir. Sambil melawak saya berkata, kamilah orang pertama dan terawal tiba !. Berkat doa ibu bapanya dan mungkin sedikit doa  semasa di Mekah dan Madinah, jodohnya telah dipermudahkan Allah SWT. Selamat Pengantin Baru dan Alhamdulillah penantian beliau telah berakhir.  Setelah itu kami ke Layang-Layang menziarahi nenek yang uzur, Saya pulang semula ke UiTM Shah Alam malam itu. Ketentuan perjalanan yang cukup tersusun, SubhanaAllah.

            Pagi 10 Julai 2011 kami ke PWTC bagi menghadiri perjumpaan NGO dengan YAB PM, Saya menerima jemputan dari kumpulan blogger Kelab Che Det (KCD).  Itu merupakan  pertemuan kali pertama dengan kumpulan KCD, amat terasa kemesraan dalam pertemuan singkat tersebut. Saya teruja bila “Beruang Putih” memberitahu tulisan saya bertajuk “Anwar, Mahathir dan KISAH KUDA’ disukai pembaca blog beliau dan telah diterbitkan dalam sebuah akhbar tabliod. Saya juga ada menerima komen positif dari Dato Zaini Hassan (Utusan Malaysia) mengenai tulisan tersebut. Pagi itu saya sempat menemui YB Dato Razali Ibrahim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Beliau bercerita mengenai lawatan beliau ke Padang Terap ketika saya berada di Sabah. Kami mempunyai satu ‘kisah menarik’ mengenai ‘topi’ dan sejak itu sering berbalas sms mengenai isu-isu semasa. Berapa minggu lalu saudara Shaiful, SUS YB  Dato Razali ada menghubungi saya untuk satu program di kawasan Muar. Semoga saya mempunyai kelapangan untuk membantu beliau.  Ketika sedang keluar dari PWTC, saya menerima panggilan dari pengerak Suara Insipirasi Malaysia (SIM) iaitu team FB yang sangat aktif. Rupanya mereka juga berada di sana. Itu juga merupakan pertemuan pertama antara saya dengan Suud dan Kak Intan serta ramai lagi geng SIM. Terima kasih tak terhingga, nasib baik mereka call last minute,,dapat juga juadah makan tengahari yang sedap sambil boleh berbual banyak perkara. Ketentuan yang sangat indah. SubhanaAllah.

            Jumaat, 22 Julai 2011, saya turun semula ke KL dan terus ke Melaka untuk menyampaikan ceramah kepada ketua-ketua kampung DUN Kemelah kawasan YB Dato Ayob Rahmat yang diadakan di Ayer Keroh D Village, Sambutan dan penghargaan mereka membuatkan saya terharu dan kemungkinan YB akan mengatur satu program ceramah di DUN Kemelah. Selesai ceramahsaya terus ke bergerak menuju Putrajaya dan solat Jumaat di sana. Petang itu kami bertolak pulang dan tiba di Kedah jam 11 malam. 

           Pagi Sabtu, 23 Julai saya dijemput untuk menyampaikan ceramah dan taklimat kepada guru-guru di Sek Keb Bandar Darulaman, Jitra. Di program tersebut saya dipertemukan dengan seorang usahawan  dan insan hebat bernama Zainol Abdulllah yang mempromosikan satu sistem perniagaan berkonsepkan jariah. Kami berkongsi banyak cerita dan pengalaman. Semasa pulang MPV saya kelihatan berasap dan saya berhenti betul-betul berhampiran bengkel yang menjadi kebiasaan saya membaiki kenderaan. Nasib menyebelahi saya, rupanya radiator baru sahaja pecah  dan  minyak hitam telah kering!.  Ketentuan yang baik, kejadian berlaku setelah berada di tempat sendiri. SubhanaAllah.

             26 Julai, saya dihubungi rakan di Pendang dan diminta membaca ikrar di hadapan YAB Perdana Menteri dan warga belia. Saya teruja pada awalnya ! tetapi semasa berbual baru saya teringat dan menolak peluang itu kerana pada tarikh lawatan PM tersebut, saya juga menerima undangan khas untuk Rakan Facebook yang dijangka pada jam 5.30 petang. Program di Pendang dijangkakan jam 2.30 petang. Saya diyakinkan untuk hadir raptai dan beliau mencadangkan saya ke Holiday Villa selepas bacaan ikrar tersebut. Saya akur dan menghadiri majlis raptai pada petang 27 Julai. Namun berlaku sedikit salah faham dan rasa tidak puas hati dikalangan orang tertentu yang melihat kehadiran saya. Dalam keadaan serba salah kerana diminta hadir, pihak berkenaan pula menghantar ‘wakil’ meminta bacaan ikrar itu diberikan kepada mereka. Saya memerhatikan ‘perbincangan’ itu dan pengajur akhirnya akur tanpa mahu timbul sebarang masalah dengan pihak berkenaan. Pihak penganjur memohon maaf dan saya tiada masalah sebenarnya. Saya juga amat bersyukur, kerana hanya perlu berada di Hotel Holiday Villa sahaja menanti YAB PM di majlis Rakan FB beliau. Istimewanya ketika PM bergerak pulang, saya sempat memberikan kertas cadangan Program Motivasi Rakyat dan memberikan penjelasan secara terperinci konsep program berkenaan. Baru-baru ini, akhbar melaporkan YAB PM telah menyentuh cadangan membangunkan program pembangunan minda rakyat ! Kebetulan yang menarik! Alhamdulilah


           Hari Anugerah Cemerlang yang diadakan pada bulan Julai memberikan  rasa kepuasan.  Pasukan Kadet Polis Lelaki yang baru setahun dipimpin menerima Anugerah Pasukan Paling Aktif dari Tunku Temenggong Kedah. Peluang memakai baju yang baru siap ditempah dengan kos yang agak tinggi amat berbaloi bila ramai mengatakan saya kelihatan seperti Inspektor Polis sebenar. Itulah kerjaya dan cita-cita pertama semasa di bangku sekolah. Awal Julai saya juga dijemput oleh Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Padang Terap, Tn Haji Jamil untuk memberikan satu taklimat kepada semua Pengetua dan Guru Besar sewaktu mesyuarat mereka. Inilah kali pertama sepanjang 8 tahun menguruskan skim insurans @ takaful saya dijemput memperincikan perkara berkenaan di daerah sendiri.  Sebulan sebelum itu, saya telah dijemput untuk memberikan penerangan kepada Pengarah dan semua PPD dalam negeri Kedah di Hotel Seri Malaysia. Kebetulan yang mengembirakan, Alhamdulilah.

         Yang pasti setiap bulan dan setiap hari telah Allah jadikan cukup indah buat kita. Julai 2011 membawa banyak kisah menarik. Cabaran bulan Ogos lain pula kisahnya, yang jatuhnya seiring bulan Ramadhan menuntut banyak kesabaran dan ketahanan jiwa dari sikap manusia bermuka dua. Ramadhan kali ini juga membawa kisah istimewa dalam kehidupan saya. Terlalu berbeza dari tahun-tahun sebelumnya. Maha Suci Allah yang mengatur ketentuan yang paling baik bagi setiap hamba-hambaNYA. 

DS Najib sedang menjawab soalan Rakan FB
Cadangan Program Motivasi Rakyat 



Sempat memohon maaf dengan Ummi Hafilda
Bersama Dato Zainal Abidin Sakom

Anggota Kor Kadet Polis 
Taklimat kpd Pengetua & Guru Besar 
Tunku Temenggung Kedah  


Sabtu, 6 Ogos 2011

Mengatasi pelajar kurang ajar


 
Ketika membaca isu 33 orang pelajar yang kononnya 'didera' dalam program motivasi anjuran SMK Bandar Baru Uda dan Jabatan Penjara Kluang, saya terpanggil mengulas isu ini kerana kebanyakkan peserta yang terlibat ialah pelajar yang berusia 16 tahun. Mengapa pihak sekolah mengajurkan program agak 'keras' dan 'hardcore' untuk mereka ? Ini persoalan asas yang perlu diketahui oleh orang ramai.  Tentu ada sebab yang wajar pihak sekolah terpaksa memikirkan kaedah dan pendekatan yang sesuai dalam menghadapi kumpulan pelajaran tingkatan 4 di sekolah berkenaan dan salah satu kaedah ialah mengadakan program simulasi di dalam penjara. Saya yakin pelajar yang 'terpilih' ini mempunyai rekod yang perlu diperbaiki dengan melalui program berkenaan. Jika melihat cara serangan dan kata-kata kesat ibu bapa terhadap pengetua dan pihak JPN Johor, maka kita sudah boleh mengagak bagaimana kurang ajarnya sikap anak-anak mereka di sekolah. 

Selain itu, bagi mengatasi masalah disiplin, satu program Pra PLKN wajar diberikan kepada pelajar lelaki tingkatan yang naik ke tingkatan 4 melalui pemilihan guru atau cadangan dari ibu bapa. Program Pra PLKN atau program seumpamanya harus menerapkan asas disiplin dan penekanan pembentukan jati diri agar mereka dapat diasak dan diasuh untuk mematuhi peraturan sekolah. Syarat wajib dan latihan asas ketenteraan mungkin wajar diterapkan dan pelajar tingkatan 4 ini dihantar ke kem tentera selama sebulan sebelum masuk ke bilik darjah. Peranan guru disiplin dan guru-guru semakin terbatas dan mengudang pelbagai risiko. Justeru melalui peraturan dan sistem baru diharap dapat mengembalikan semangat kaum guru untuk terus mendidik dengan ikhlas. Jadikan suasana sekolah sebagai tempat yang benar-benar 'selamat' dan 'selesa' untuk guru mengajar dan murid belajar.