Isnin, 7 Januari 2013

PAS Kedah langgar amanah Allah

Firman Allah bermaksud: "Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan." (Surah al-Qasas, ayat 77). Kita telah membaca laporan akhbar dan media berhubung penebangan rakus hutan di Tasik Pedu dan sekitar Sik, Jeniang dan Baling. Negeri Kedah Darul Aman antara negeri yang mempunyai banyak air terjun serta hutan lipur yang sangat istimewa. Firman Allah melalui ayat di atas memberikan kita satu contoh yang sangat nyata kedaifan akal pemimpin bila diberikan kuasa hingga tidak mampu mengurus  dengan bijaksana. Malah gagal dalam memelihara alam semesta yang diciptaNya. 

Kesempatan cuti baru-baru kami telah berkelah dan bermalam di sebuah pulau di tengah kehijauan Tasik Pedu. Dalam perjalanan itulah kami menyaksikan sendiri apa yang dilaporkan oleh media yang sering dicop sebagai ‘pendusta’. Keadaan sudah tidak seperti beberapa tahun yang lalu. Hakikatnya sangat-sangat mengecewakan apabila kehijauan hutan yang cantik di sekitar laluan di Tasik Pedu sudah ditarah hingga menjadi ‘bukit tanah merah’.

Diteliti secara mendalam, sesuatu ‘malapetaka’ sedang berlaku di Daerah Padang Terap yang diakibatkan oleh sikap penduduknya sendiri. Ini antara contoh 'hukum alam' yang sedang menanti masa dan sedikit sebanyak kesannya boleh dilihat dengan nyata.

Saya fikir, pengundi daerah ini yang pernah mengkhianati parti mereka sendiri pada PRU 2008 sedang diberikan pengajaran berharga atas sebab yang mereka tahu. Pencabulan ganas alam ini berlaku di DUN yang dimenangi oleh BN iaitu DUN Pedu. Namun sehingga sekarang tiada sesiapa mampu menghentikan pembalakan yang sedang memusnahkan kecantikan alam sekitar Tasik Pedu ini. Lebih ‘mengembirakan’ PAS pula ialah calonnya telah dimenangkan oleh musuh mereka iaitu BN atau UMNO.

Paling malang, selain kesan sabotaj alam yang dilakukan di Parlimen Padang Terap, pemimpin PAS yang dibantu kemenangannya oleh pengkhianat BN ini pula terang-terangan sedang melacur maruah agama. Di sebalik apa yang dilakukan oleh pemimpin ini, ramai ustaz  dan penyokong PAS sendiri melahirkan rasa jijik akibat kedangkalan pemimpin mereka kerana sanggup mengorbankan prinsip akidah demi meraih undi kaum yang bukan seagama. Tindakan paling jahil dan amat tidak bermoral pemimpin berkenaan merupakan bala amat besar yang tidak terfikir boleh berlaku di sini dan sepatutnya menjadi pengajaran kepada ahli PAS dan UMNO. 

Dalam isu penebangan hutan pula, masyarakat Kedah patut meninjau sendiri ke Tasik Pedu dan menyaksikan sendiri kaedah penebangan hutan yang mereka lakukan. Hakikatnya golongan yang kononnya mengaku berpegang kepada Al Quran inilah yang mengingkari ayat Allah. Firman-Nya yang bermaksud: "Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedangkan Allah tidak suka kepada bencana kerosakan." (Surah al-Baqarah, ayat 205).

Cadangan PERKASA Kedah membawa orang ramai dengan bas adalah tindakan yang baik untuk melihat sendiri apa yang berlaku di Tasik Pedu. Biarkan rakyat menilai kepimpinan ini dan menyedarkan penyokong mereka yang taksub membuta tuli. Penduduk Kedah harus menyedari bahaya besar yang mungkin terjadi. Kesan banjir yang selalunya bermula di Daerah Padang Terap pada masa-masa akan datang akan lebih berisiko tinggi. Berdoalah agar bencana alam akibat kebodohan pemimpin seperti ini tidak menyebabkan rakyat sengsara di kemudian hari.  

Jika perlembagaan PAS adalah Al Quran, di mana letaknya ayat diatas sebagai kaedah kepimpinan mereka dan mentadbir hutan di negeri berkenaan.

Peningkatan hasil balak sehingga 205 % bukan sesuatu yang pelik jika kaedah penebangan seperti ini dilakukan. Penduduk sekitar Kg Pinang, Tong Pelu, Kg Musa, Kg Kuala Tekai dan Kuala Nerang hampir setiap hari dapat melihat lori balak membawa kayu sebesar betis orang dewasa. Walaupun pendapatan semasa BN memerintah agak sedikit iaitu sekitar RM8 juta setahun, tetapi bukti inilah melambangkan pembalakkan dilakukan secara terancang dan hutan tidak ditebang sesuka hati.  Jika pun bercadang untuk membuka 'ladang rakyat', fikirkan sejenak tentang pasarannya. Saya fikir alasan mengwujudkan peluang pekerjaan juga amatlah dangkal kerana tidak ramai anak muda yang berminat jika buruh ladang ditawarkan sebagai kerjaya. Namun berita baik dari perancangan ladang buah-buahan ini ialah untuk penghuni hutan seperti monyet dan kera yang akan menikmati buah-buahan yang disediakan hasil dari kewujudan idea yang menjadi bahan ketawa.

Hadis Nabi SAW bermaksud; Sesungguhnya dunia ini cantik dan subur menghijau dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu (wahai manusia) selaku pengurusnya dan apa yang terdapat padanya. Namun bagi pemimpin PAS Kedah, tiada apa yang perlu difikirkan tentang hadis ini, malah bagi mereka larangan keras Rasulullah SAW terhadap penebangan hutan bukan sesuatu yang perlu dihayati.

Melalui sebuah hadis Baginda Nabi SAW sekali lagi melarang keras terhadap usaha penebangan tanpa sebab dan melampau bermaksud: “Barang siapa yang memotong pokok (bidara) - tanpa manfaat atau kepentingan - nescaya Allah SWT akan menghumbankan kepalanya ke jurang neraka”. Jika Firman Allah SWT dan Hadis Nabi SAW ini pun tidak diendahkan oleh PAS yang mengaku amat faham agama, justeru siapalah kita yang dianggap kafir  untuk menyedarkan kejahilan mereka ini.

Tiada ulasan: