Isnin, 14 Mei 2012

Guru Cermin Guru, Tanpa Mereka Siapalah Aku

Guru nadi pengerak bangsa yang membina tamadun negara. Tugas mulia yang tertua ini adalah arkitek manusia yang sangat berjasa. Tiada siapa pun yang boleh menafikan jasa guru kerana tanpa mereka siapalah kita hari ini.

Sempena Hari Guru tahun ini, mudah-mudahan kita mendapat nafas baru dan petunjukNya untuk terus berbakti dengan penuh minat dan kesungguhan. Walaupun kita sering membaca keluhan dan kajian mengenai beban tugas guru, namun begitu kita juga harus bersyukur dan menghargai usaha penambahbaikan yang sedang dilakukan oleh kerajaan.

Kepekaan kerajaan boleh dilihat melalui  siri taklimat Kajian Semula Pendidikan dan Dialog Nasional Pendidikan Negara yang sedang berjalan. Warga pendidik berkempatan mengemukakan pandangan dan cadangan sewaktu dialog ini dijalankan di Alor Setar. Banyak masalah dan isu telah dibangkitkan dari warga pendidik yang mengharap 'perhatian' dan 'tindakan' pihak kerajaan. Melalui sembilan bidang keutamaan yang menjadi perbincangan rasanya maklumbalas yang akan diterima pasti terlalu banyak dan sudah pasti tidak akan mampu dipenuhi sepenuhnya oleh kerajaan, khususnya yang melibatkan kebajikan warga pendidik. Namun sudah tentu kita mengharapkan banyak penambahbaikan akan memberikan kelegaan dan meringankan beban tugas guru yang sekarang ini sudah 'keluar dari landasan' atas sebab kurangnya kepekaan pihak-pihak tertentu yang melambakkan pelbagai sistem baru dan kerja pengkeranian yang menjejaskan tumpuan kerja utama guru.


Warga pendidikan juga harus bermusahabah dan membetulkan beberapa isu yang berlegar dalam profesion kita sebelum mengharapkan 'perhatian' pihak lain. Kekadang dikalangan kita sering menyalahkan pelbagai pihak seperti kerajaan, pemimpin, ahli masyarakat, ibu bapa dan juga pelajar kerana tidak menghargai peranan guru. Dahulu kita sering melihat penghargaan terhadap guru tetapi hari ini kita melihat keadaan sebaliknya. Mengapa ini berlaku dan siapa yang harus dipersalahkan. Kita mungkin amat berharap pihak lain akan mengiktiraf sumbangan dan jasa guru, tetapi perkara asas dan utama yang kini berlaku ialah sikap segelintir warga pendidik sendiri yang negatif. Penghargaan dan rasa kesyukuran jarang diterjemahkan sedangkan ianya tuntutan agama. Kita sendiri terlupa untuk menghargai dan mengiktiraf peranan rakan sejawat kita dalam profesion yang sama. Mungkinkah persepsi yang dilemparkan terhadap profesion perguruan ini adalah disebabkan sikap kita sendiri?   Tepuk dada tanya diri sendiri, adakah kita di kalangan warga pendidikan yang sering memandang rendah tugas rakan sekerja kita?

Wujud kebimbangan yang semakin ketara kerana wujudnya parasit yang merosakkan nilai kekeluargaan dalam organisasi pendidikan. Parasit ini adalah dari dalam profesion kita sendiri. Penghargaan yang sepatutnya datang dari dalam sudah semakin kurang dari warga pendidik terhadap rakan sejawatan. Isu memperlekehkan kerja dan tugas mungkin tidak berlaku atau kurang didengari dalam perjawatan lain seperti bidang perubatan, ketenteraan, kepolisan atau jawatan awam yang lain. Mereka menghormati setiap tugas rakan sekerja dan memahami fungsi masing-masing.Namun melihat di dalam profesion pendidikan, ianya seperti penyakit yang sukar diubati jika tiada antibiotik yang khusus.

Melalui pengalaman sepanjang 18 tahun berkhidmat, saya biasa mendengar  pemimpin sekolah juga guru-guru mempeleceh tugas guru lain.  Ketika bertugas sebagai guru pendidikan khas, ada segelintir menganggap tugas ini mudah kerana bilangan pelajar yang diajar adalah kecil. Ketika menjadi kaunselor pelajar, segelintir pemimpin sekolah dan guru melemparkan persepsi tugas ini amat mudah kerana tidak perlu mengajar. Malah ada pihak memperkecilkan tugas guru pendidikan jasmani  yang peranan sebenarnya sangat besar dalam membentuk sikap kerjasama dan pembentukan emosi dengan aktiviti mereka. Begitu juga pandangan serong terhadap tugas guru muzik dan pendidikan seni yang berupaya membentuk nilai sensitiviti dan kepekaan. Malah wujud di kalangan pemimpin atasan, pentadbir sekolah atau pun guru sendiri meletakkan tugas guru tertentu sebagai 'low class' hanya kerana mereka bukan guru subjek untuk peperiksaan. 

Konsep JERI yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara kini semakin terhakis oleh sebab sikap kita sendiri. Tumpuan yang berlebihan terhadap intelek kini menimbulkan kesan yang cukup dahsyat terhadap anak bangsa. Kita sudah pun melihat buktinya dengan berbagai kejadian melibatkan mahasiswa yang hanya tinggi IQ nya tetapi rendah tahap EQ dan SQ.

Pilihan untuk membuat perubahan dan penghormatan terhadap profesion ini terpikul di bahu kita sendiri. Sematkanlah sikap prihatin dan memahami tugas orang lain. Dengan cara itu pasti tugas kita akan mendapat pengiktirafan orang lain. Kita tidak boleh terlalu mengharap pengiktiran dari pelajar, ibu bapa dan masyarakat jika di dalam diri kita sendiri masih ada sikap iri hati dan sibuk 'melihat tugas dan kerja orang lain'. Pepatah Red Indian ada mengatakan ‘ Janganlah kita menganggap tugas seseorang itu sebagai mudah selagi kita tidak cuba melakukannya selama dua minggu’. Justeru sempena Hari Guru 2012 marilah sama-sama kita memartabatkan profesion dan menghidupkan nilai-nilai mulia tersebut. Jika gerakan bermula dari setiap warga pendidik pasti dengan sendirinya penghargaan akan datang dari orang lain. Selamat Hari Guru

Cr. LukmanMoidin & ShahfaliqTeo