Rabu, 29 Jun 2011

PENGALAMAN adalah Guru TERBAIK dan TERHEBAT










Firman Allah dalam Surah Ar Rahman "Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan mu yang kamu hendak di dustakan"

Peluang melawat Negeri Sabah dari 24 hingga 28 Jun 2011 adalah anugerah Allah SWT yang tidak diduga. Tambahan pula hanya Negeri Sabah saja yang belum saya jejaki di Malaysia. Bersama 36 orang ahli rombongan Majlis Belia Daerah Padang Terap kami tiba di KK dan terus menaiki bas ke Kundasang iaitu lebih 2 jam perjalanan. Kami disambut warga BTN Kundasang, pada petang itu dan mengikuti program pada setibanya di situ. Keesokkan hari, bersama tugasan khas yang diberikan, kami di bawa melihat hutan di Poring yang mempunyai laluan kanopi di atas pokok. Ianya adalah pengalaman menarik dan 'gayat'. Selesai menyusuri 'kanopi' di atas pokok kami turun ke tapak kolam air panas yang dijaga rapi. Ianya merupakan tarikan di Poring dan menambah istimewa taman rekreasi keluarga Hot Spring Poring, dan pengunjung akan  mandi air panas di siang hari !!,  berbeza di kolam air panas Ulu Lengong, Baling yang menjadi tumpuan waktu malam sahaja.

Yang Luarbiasa

Kesempatan istimewa pada hari kedua di Kundasang ialah melihat BUNGA TERBESAR di dunia iaitu Bunga Rafflesia juga mengujakan. Kebetulan bunga ini hanya berkembang 7 hari sahaja,,dan kami berada di situ pada hari ketujuh iaitu hari terakhir bunga tersebut mekar sebelum layu ..SubhanaAllah. Tempat tujuan seterusnya iaitu Kg Luanti, Ranau yang cukup menarik dan seharusnya menjadi tempat wajib untuk kita lawati. Penduduk tempatan di Sg Tagal telah mengubah suasana kampung ini hingga menjadi tumpuan pelancong. Dari sebuah sungai yang terbiar, mereka telah memelihara sungai ini dan menjadikan  lubuk ikan kelah dan beberapa specis ikan sungai yang liar. Maha Suci Allah yang Maha Berkuasa, dengan izinNYA satu KEAJAIBAN LUARBIASA akan kita lalui di sini. Hampir semua ikan di sungai ini telah berjaya dijinakkan oleh penduduknya. Peluang mandi dan dikerumuni beratus-ratus ikan kelah dengan 'mengigit' jari, tangan, badan, tapak kaki adalah pengalaman FISH MASSAGE yang sangat-sangat HEBAT !!. Ini kerana pengalaman ini adalah di 'sebuah sungai' yang airnya mengalir deras bukannya di 'kolam' ciptaan manusia.

Lokasi seterusnya adalah Ladang Sabah Teh sebelum kami pulang ke tempat penginapan. Sesi pembentangan hasil dari tugasan sepanjang lawatan sehari itu agak menarik. Kami 4 kumpulan telah mengemukakan pandangan dan pengalaman untuk menilai banyak aspek sebagai pelajaran dari perjalanan. Malam berkenaan, saya menjadi moderator dan mengendalikan sesi percambahan minda.Banyak sungguh budaya dan pegalaman yang telah kami 'nampak' dari orang-orang Sabah. Cukup positif dan perlu menjadi contoh kehidupan bermasyarakat. 

Hari ketiga 26hb Jun,  kami menuju Taman Negara Kinabalu dan melakukan sesi kecergasan dan senaman arobik. Kebetulan pasukan kami turut disertai oleh pakar senam arobik iaitu Kak Pah (Latifah) and the geng. Suasana ceria mengiring sesi pagi itu. Seterusnya beberapa peserta termasuk saya telah 'mencuba' merasai pengalaman mendaki..Kami hanya mencuba 1 KM sahaja mendaki hingga ke Pondok Kandis,,tapi penatnya Ya Allah, tercungap-cungap dan macam nak tercabut kepala lutut. Begitulah kehidupan, susah dan sukarnya untuk mendaki ke puncak, Allah tidak menjadikan setiap yang cantik, istimewa, hebat dan luarbiasa itu mudah !. Kita harus belajar dan mahu mengambil risiko dan berusaha untuk merasai nikmat kesenangan. Tanpa asas dan latihan kita tak akan mampu sampai ke puncak. Kami turun semula setelah segar semua, laluan turun amat mengembirakan dan begitu cepat,  begitulah hukum alam, segala yang menyeronokan itu sungguh mudah dan cepat. Menghancur dan membinasakan sesuatu bangunan dan tamadun hanya perlukan masa yang cukup pendek, tetapi untuk membangunkan sesuatu bangsa yang berjaya ianya mungkin memerlukan beberapa generasi.

Dalam perjalanan pulang kami sempat singgah di kubu perang peninggalan tentera Australia, cantik dan terjaga rapi tempat berkenaan. Petang itu adalah saat perpisahan dengan fasilitator BTN Kundasang, Kami merasai pengalaman bersama barisan fasi BTN yang cukup mesra sepanjang di Sabah. Sesi terakhir ini agak istimewa dan memberikan kesan yang sangat mendalam dan menyentuh kalbu. Pasti akan menjadi pengalaman berharga segala perkongsian bersama tenaga pengajar dan 'Guru Muda' dari BTN Sabah. Mereka memang hebat dan berjiwa luhur dan kami merasai sesuatu hubungan yang sangat istimewa yang sukar untuk digambarkan. Saya percaya hubungan erat ini datang dari kejujuran dan keikhlasan yang telah BTN Kundasang berikan sepanjang bersama kami.

Untungnya 

Perjalanan petang itu terus menuju Kota Belud melalui persisir sungai yang sangat cantik, saya membayangkan keinginan sejak sekian lama untuk memilili rumah di sebatang anak sungai seperti ini..sayangnya sungai di Semenajung hampir 80% telah tercemar. Di pekan Kota Belud, tenaga fasi BTN Sabah rupanya telah bersedia menunggu kami dan membantu urusan kami membeli parang  dan pisau buatan istimewa yang menjadi 'trademark' masyarakat di sini. Sebelum berpisah saya memeluk erat Asmarah Rikun dan bersalam sekali lagi dengan mereka. Malam itu kami tiba di Hotel CBS atau Hotel Gaya Central, betul-betul di persisir pantai KK dan tempat tumpuan pelancong. Teruja sungguh melihat bilik penginapan yang moden dan cantik, lebih mengembirkan ianya dibayar oleh seorang dermawan penaja kepada lawatan ini. 

27 Jun 2011, Pagi saya menuju ke Pasar Filipino yang difahamkan menjual berbagai cenderahati istimewa dari Sabah khususnya MUTIARA, namun melalui ajakan Hj Mat Zain yang pernah ke Sabah, kami dibawa ke sebuah kedai di Sinsurans 2, (Ramiza Enterprise), harga yang diberikan jauh lebih murah dari pasar Filipino, maka habislah sebahagian wang disitu tetapi puas kerana hajat untuk ibu dan isteri dapat ditunaikan dengan membelikan mutiara yang Allah ciptakan dari dalam perut kerang. . Firman Allah, "Dari kedua laut itu, keluar mutiara dan marjan, Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan mu yang kamu hendak dustakan' (Ar Rahman)

Jam 2 petang, beberapa orang dari ahli rombongan kami menaiki bot dari jeti di persisir Waterfront ke Pulau Peranginan Mamutik dan Pulau Manukan, cantik dan besih serta merupakan tempat tarikan pelancong juga. Dengan bayaran RM20 sahaja kami merasai kepuasan meredah laut dan meronda dua buah pulau di Sabah, pengalaman ini tidak dirasai oleh sebahagian ahli rombongan yang lain kerana hanya 12 orang sahaja yang mengambil keputusan untuk menghabiskan masa melihat Sabah lebih dekat. Sebilangan ahli yang lain mungkin lebih selesa berada di bilik atau meronda di bandar KK. Malah kami merasakan kalau bayarannya RM50 pun ianya adalah berbaloi. Pulang dari pulau, sesi shoping seterusnya dilakukan,,saya membawa ahli kumpulan seramai 12 orang melalui Pasar Filipino, ada cerita menarik di sini apabila seorang adik yg bertanya kepada pekedai tentang gelang mutiara dan meminta tawaran harga dari RM15 kepada RM12, tetapi sikap pekedai (bangsa Filipina) yang mengatakan kalau boleh dapat murah pergilah cari, dengan menyindir kami supaya mencari kot-kot dapat RM5 !!, Tercabar dengan sikap kurang sopan peniaga tersebut saya terus membawa mereka ke Ramiza Enterprise yang saya kunjungi pada pagi tadi, (tersesat juga mencari kedai tersebut). Lebih 2 jam kami disitu dan kebetulan yang hebat,,rupanya ramai lagi ahli rombongan turut berada di kedai tersebut pada petang itu. Selesai membeli barangan di kedai berkenaan dan dalam perjalanan pulang, kami beramai-ramai sengaja melalui semula kedai di Pasar Filipina tadi,,masing-masing membimbit barang-barang melalui betul-betul di hadapan perempuan tersebut,,kami dapat melihat 'air muka penyesalan' kepada pekedai tersebut,,Nilai pembelian petang itu melebih RM3000 !!. Pengajaran berharga: pelanggan yang datang membeli barang biasanya bukanlah kerana 'nilai harga barangan-mahal atau murah' yang diletakkan, tetapi apa yang sangat mereka hargai ialah 'nilai layanan' dan 'kemesraan' dari jurujual.

Kos RM200 ke Sabah

Dengan izinNYA kami merasai suasana baru yang amat berbeza. Sabah masih kelihatan 'suci dan terjaga'. Terlalu kurang motorsikal seperti di tempat kita dan tiada mat rempit di sana. Warong-warong seperti 'reban ayam' juga tidak dapat dilihat di Kota Kinabalu berbanding di tempat kita. Peraturan dan penguatkuasaan di sana rasanya jauh lebih baik dan tegas berbanding di Semenanjung. Kebersihan juga menjadi satu amalan dan budaya yang dapat dibanggakan. Malah kalau kita bandingan slogan sesetengah negeri di Semenanjung yang hanya gah pada nama dan slogan kosong wal hal tahap kebersihan adalah jauh lebih ketinggalan dengan sebuah negeri seperti Sabah yang mempunyai beratus etnik dan fahaman agama yang berbeza.

Sabah bagi saya amat istimewa, kita boleh dan patut belajar dari mereka. Kami bercadang untuk sekali lagi ke sana untuk mengalami pengalaman mendaki ke Puncak Gunung Kinabalu dan mungkin ke Semporna, Kudat dan bandar lain. Jangkaan kami jika dimurahkan rezeki, kosnya mungkin sekitar RM2000 hingga RM3000. (termasuk pakej mendaki RM600 dan lain-lain kos). Namun lawatan ini memberikan rasa kesyukuran yang teramat sangat kepadaNYA. Rezeki dan KebesaranNYA adalah nikmat yang sungguh tak disangka, Hanya dengan bayaran RM200 sahaja, kami mengalami segala pengalaman sepanjang 5 hari di Sabah. Dari penginapan, makan minum semuanya dibayar oleh penaja, Seingat saya hanya makan malam di KK sehari dan sarapan pagi sahaja yang kami keluarkan belanja. Semoga Allah murahkan rezeki mereka yang banyak menyumbang untuk menjayakan lawatan ini. Malah beberapa kontraktor yang menjadi peserta lawatan juga telah bermurah hati belanja makan sepanjang sesi lawatan. Terima Kasih khas untuk YB Dato Mahdhir Khalid (ADUN Pedu), Tuan Haji Badrulhisham (KP), Ismail Ibrahim (Pengerusi MBD) dan Azmi Abd Rahman (ketua rombongan)

Kami juga sangat menghargai jasa bakti fasilitator BTN Kundasang, Sabah yang menerima kami dengan hati telus dan ikhlas serta layanan yang terlalu istimewa. Nama Asmarah Rikun, Pak Boi, Pak John, Pak Zack, Pak Long dan lain-lain 'guru muda' BTN Sabah akan menjadi ingatan dan kini menjadi sahabat yang akrab kepada kami. Bersyukur kepada Allah SWT kerana 'menghantar' kami ke Sabah. Banyak hikmah yang Allah SWT kurniakan dari sesi lawatan ini. Pengalaman solat suboh berjemaah dan solat dhuha di ketinggian wilayah Kundasang dengan pemandangan Gunung Kinabalu sangat istimewa dan luarbiasa. Sukar untuk mengukapkan bila Allah mengizinkan kami untuk datang kesitu dan melihat berpuluh pasak bumi di sekeliling banjaran gunung tertinggi di Asia dan melihat kecantikan alam ketika matahari terbit dan juga ketika matahari terbenam. Dan dengan kekuasaanNYA digantikan malam itu dengan siang, diaturNYA perjalanan alam ini tanpa sedikit pun kecacatan untuk kita berfikir. Maha Pencipta Allah seperti mana firmanNYA 'Atau siapakah yang telah menjadikan bumi tempat penetapan, dan telah dijadikan sungai-sungai di antara bahagian-bahagiannya, dan telah menjadikan untuknya gunung-ganang yang menetap' (61: Surah An Naml).

Niat untuk sentiasa menemui 'sahabat baru' yang sering saya impikan setiap kali 'keluar rumah' telah ditunaikanNYA. Impian melawat Sabah dengan bayaran yang diluar jangkaan adalah nikmat anugerahNYA yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang... "Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan mu yang kami hendak dustakan". Pengalaman memang GURU YANG TERBAIK dan TERHEBAT. Selalunya, didikannya akan kekal terpahat selamanya. Terima Kasih SABAH.